Monday, July 5, 2010

SPRM ‘SUDAH’ DIBELI, LHDN BANGUN DARI MIMPI?








Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin sudah ‘dibeli’ kerana tidak segarang ketika menangkap ‘The Touchable’ Mr Underwear, Michael Chia Tien Foh dan beberapa rangkaiannya, apatah lagi setelah orang paling berpengaruh di zaman Tun Dr Mahathir Mohammad iaitu Tan Sri Ting Phek King campurtangan bagi menyelamatkan anak saudaranya, Simon Ling ‘The Alien’ Ding Dieng.

Demikian pandangan Pengerusi Yayasan Warisan Borneo (BHF) Datuk Dr Jeffrey Kitingan ketika mengulas aksi SPRM ‘The Movie’ yang mengejutkan semua pihak baru-baru ini berikutan tangkapan beberapa tokoh perniagaan yang digelar ‘Untouchable of The Untouchable’ yang ada hubung kait dengan Skandal Penggubahan Wang Haram dan Membiayai Keganasan yang diketuai ‘The Touchable’ Mr Underwear dan gundiknya, The Incredible Yap Siaw Lin @ Kiki ‘Chicken’ Yap.

Menurut Jeffrey, beliau kesal kerana garang SPRM bagaikan harimau yang tidak bergigi dan kehilangan kuku kerana hanya menjalankan tangkapan ‘Ikan Badukang Terpilih’ yang banyak isi, namun belum mendakwa mereka ke mahkamah.

“Kenapa sukar untuk menghadap mereka ke mahkamah setelah soal siasat sebelum dibebaskan dengan ikat jamin dan passport mereka dirampas?. Kenapa SPRM melayan saya seperti penjenayah sedangkan ketika itu saya langsung tidak bersalah dan menjadi mangsa konspirasi BN untuk menumpaskan PBS?,” tanya Jeffrey yang takjub dengan modus operandi terbaru, tangkap dan lepas (catch & release) SPRM.

Jeffrey kini terpinga-pinga dengan tindakan lanjut SPRM yang bagaikan memberi ‘motivasi’ kepada rakyat Sabah agar menyokong Kerajaan ‘1Malaysia’ Najib yang masih teragak-agak mahu membasmi atau menyuburkan rasuah.

“Saya telah banyak membuat laporan dan boleh dijadikan panduan untuk memberkas semua pemimpin BN dan kroninya, namun saya tidak tahu apa yang sudah jadi dengan laporan rasmi saya. Mungkin SPRM belum terima arahan,” sindir Jeffrey sambil tersenyum kerana enggan menamakan siapa yang dimaksudkan dengan ‘arahan’ tersebut?

Tambahan pula, SPRM berjaya menutup mulut media sehingga tidak ada satu media yang tahu kesemua mereka ditangkap melainkan Sabahkini.net, seolah-olah ada agenda tersembunyi atau sesuatu yang mahu disembunyikan; bahkan kata Jeffrey SPRM tidak pernah membuat siaran media tangkapan Michael Chia dan rangkaiannya.

Keadaan ini jauh berubah jika pemimpin Pakatan Rakyat yang ditahan hanya sekadar untuk membantu siasatan, namun mendapat liputan muka hadapan semua media tempatan dan arus perdana.

Jeffrey tambah terkejut kerana ‘Pintu Khazanah Malaysia’ iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) lambat bertindak sehingga para penjenayah yang diberkas SPRM berjaya membawa lari wang yang mereka ‘rompak’ ke luar negeri tanpa sebarang halangan.

Serbuan yang dijalankan LHDN juga dijalankan secara senyap dan tanpa sebarang liputan atau laporan akhbar sedangkan mereka mengangkut berlori-lori dokumen ‘kosong atau palsu’ dari pejabat dan kediaman ‘The Touchable Mr Underwear’ yang disediakan untuk mengelirukan LHDN.

Kata Jeffrey, setelah nasi menjadi bubur dan baru terbangun dari tidur, barulah LHDN sedar akan tugas mereka dan sewajarnya Pengarah LHDN Sabah meletakkan jawatan kerana gagal memungut cukai daripada semua ‘lanun balak’ ini yang telah menyeludup keluar berbilion ringgit wang rakyat yang dicuri daripada kawasan hutan simpan yang telah diluluskan pembalakan melalui konspirasi peringkat tertinggi.

“Ha Ha, LHDN seperti memungut kertas tisu tandas yang telah digunakan oleh penjenayah kerana SPRM telah merampas semua fail berkaitan terlebih dahulu. Adalah tidak mungkin untuk seorang penjenayah meninggalkan dokumen penting di pejabat melainkan untuk tujuan pelarian cukai,” kata Jeffrey yang menyifatkan serbuan LHDN sebagai terlambat dan penuh sandiwara.

Tegas Jeffrey, LHDN sewajarnya menjalankan siasatan dan tangkapan sejak 2007 ketika beliau membuat laporan rasmi di Balai Polis Karamunsing kerana semua dokumen dan bukti telah disediakan pihaknya yang menjalankan kajian selama dua tahun, namun LHDN hanya bersifat seperti kucing tua yang malas menangkap tikus.

Dalam pada itu, siasatan Sabahkini.net mendapati LHDN telah menyerbu pejabat semua pembalak atau syarikat yang mendapat konsesi pembalakan di seluruh Sabah dan merampas semua fail dan dokumen penting baru-baru ini.

Antara pejabat yang diserbu ialah pejabat ‘The Untouchable’ Mr Underwear yang menjadi Ibu Pejabat kepada beberapa syarikat konsesi pembalakan utama iaitu Kini Abadi Sdn.Bhd, Sabawangsa Sdn.Bhd dan lebih sepuluh syarikat milik keluarga Chia untuk memungut cukai yang tidak dibayar yang dianggarkan sejumlah RM300 juta.

Selain pejabat Chia bersaudara, LHDN turut menyerbu dan merampas fail daripada pejabat berdaftar milik Simon Ling Ding Dieng; Richard Barnes; John Nip; Amin Khan; Admond Looh; Andrew Lim; Freddy Lim; Loh Man Heng; Yayasan Sabah Kota Kinabalu (Tingkat 9 iaitu unit Kewangan dan Undang-Undang); Focus Lumber; Datuk Nasir Yeo Guan Hock; Rajang Sdn.Bhd; Tawau Plywood; Mega Big Sdn.Bhd; Rimbakita Sdn.Bhd; Top Merchant Sdn.Bhd; Kinautama Sdn.Bhd; Biotim Sdn.Bhd dan sebagainya di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Keningau.

Bagaimanapun, LHDN gagal menemui Mr Underwear, Kiki ‘Chicken’ Yap dan Yap Loo Mien, namun salah seorang yang dikehendaki SPRM, Chan Mun Bang @ Sai Pao kelihatan bebas berlegar di pejabat ‘The Touchable’ di Bandar Indah, Sandakan.

Setelah Skandal Penggubahan Wang Haram dan Membiayai Keganasan yang diterajui bossnya, The Touchable Mr Underwear, Sai Pao tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menjalankan perniagaan haram seperti penyeludupan, along, syabu, pelacuran dan pengawal peribadi kepada ‘Taikoon’.

Walaupun waran tangkap yang dikeluarkan SPRM belum dibatalkan, namun Sai Pao yang mempunyai rekod jenayah pemalsuan kad kredit di Malaysia masih bebas sedangkan Kerajaan Peranchis telah memenjarakannya selama empat bulan sebelum dibebaskan secara ‘parol’; namun kerajaan Malaysia gagal mengesan penipuan dan pemalsuan yang dijalankan menggunakan kad kredit dan modus operandi yang sama.