Wednesday, May 26, 2010

BERJAYAKAH ALBERT LIM TUTUP KES MICHAEL CHIA?





Written by Admin
Wednesday, 16 September 2009 11:30

Oleh: HAFIZ JAMAIL

BERJAYAKAH Datuk Albert Lim Yu Ming, Pengarah Winterm Sdn. Bhd, Jutawan Balak Tawau yang sebelum ini telah dibebaskan daripada tuduhan merasuah Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Jamidan Abdullah sejumlah RM100,000 pada 18 September 2000 di Hotel Shangrila, Tanjung Aru, Sabah membantu ‘Adik Angkat Musa Aman’, Michael Chia Ten Foh menutup kes rasuah yang sedang dihadapinya?

Michael Chia yang ditangkap di Lapangan Terbang Chek Lap Kok, Hong Kong pada jam 2.30 petang, 14 Ogos 2008 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) ketika membawa wang tunai $16 juta dollar Singapura menuju Kuala Lumpur telah didakwa di Mahkamah Sesyen Sandakan bersama Lo Man Heng pada 18 Jun 2008 atas pertuduhan memperdaya Chong Siak Nyen, pemilik Peluamas Sdn.Bhd agar menyerahkan Surat Kuasa (Power of Attorney) berhubung pemilikan 100,000 meter padu kayu balak milik syarikat kroni UMNO Sabah.

Kedua-dua mereka dituduh dengan 14 tuduhan menipu dan rasuah, didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan dibebaskan Hakim Indra Ayub dengan ikat jamin RM20,000 dengan deposit RM5,000 setiap seorang dan dua penjamin tempatan setelah mengaku tidak bersalah.


Mengikut maklumat yang diterima, Michael Chia telah menyerahkan sejumlah RM1.5 juta kepada Datuk Albert Lim sebagai pendahuluan daripada jumlah RM3 juta yang dijanjikan untuk menutup kes rasuah yang dihadapinya bersama Lo Man Heng.


Albert Lim telah menjanjikan fail kes Michael Chia dan Lo Man Heng akan ditutup sebelum hari raya aidil fitri hanya tinggal tidak sampai empat hari sahaja lagi melalui jaminan yang diberikan oleh seorang pegawai kanan SPRM yang berpangkat ‘Datuk’.

Persoalannya apakah kes ‘81 Dalil’ yang difailkan Datuk Dr Jeffrey Kitingan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman yang ditarafkan sebagai ‘no case to answer’ dan ditutup Peguam Negara melalui kaedah modus operandi penyelesaian yang sama?


Jika kes Musa Aman yang dilengkapi dengan bukti berjaya ditutup, apatah lagi kes kecil seperti ini gagal diselesaikan oleh Albert Lim yang kini merupakan ikon penting di Sabah kerana berjaya menjadi pemudah cara untuk merunding kes atau menutup kes siasatan SPRM yang sedang berjalan.


Dipercayai Albert Lim menggunakan khidmat seorang lagi ‘agen khas’ SPRM iaitu H.Lim untuk mempengaruhi ‘sekumpulan pegawai kanan’ berhaluan kiri yang berniat untuk menjatuhkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.


H.Lim sebelum ini telah 'menjual nama' Datuk Seri Rosmah Mansor dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak' kononnya menjadi 'Macai' kepada dua tokoh 1Malaysia ini untuk mengaburi para peniaga atau mereka yang menghadapi apa juga masalah berkaitan rasuah dan projek dengan mengenakan bayaran perkhidmatan yang 'berpatutan'.


Mampukah Albert Lim yang memiliki 'Sijil Anak Negeri Sabah' yang sebelum ini dikotori dengan isu penyalahgunaan senjata api menyelesaikan kes rasuah yang dihadapi Michael Chia dan Lo Man Heng dalam tempoh yang ditetapkan atau Ahmad Said berpeluang ‘menangkap basah’ pegawai kanan yang mempunyai agenda tersirat untuk menggulingkannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM?


Pegawai kanan berkenaan dikhabarkan sebelum in pernah bertugas di Sabah dan sehingga kini mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Menteri Sabah?

Alangkah rendahnya moral dan hilangnya kredibiliti SPRM jika 'Kes Rasuah' boleh dijadikan perniagaan lumayan di zaman kemelesetan ekonomi global?

Tuesday, May 25, 2010

MICHAEL CHIA, TOKOH PERNIAGAAN BN YANG BERJAYA?





Written by Admin
Tuesday, 15 September 2009 09:03




Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

‘PENGGUBAHAN wang Haram’ seringkali dikaitkan dengan ‘Kegiatan Membiayai Keganasan’ seperti kes yang dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) dengan penangkapan Michael Chia Tien Foh pada 14 Ogos 2008 bersama $16 juta wang Singapura ketika cuba menyeludup keluar wang tersebut ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Chek Lap Kok, Hong Kong.

'Pengubahan Wang Haram' (PWH) atau ‘money laundering' merupakan aktiviti mensabotaj ekonomi yang telah mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada Malaysia sehingga mendesak kerajaan mengamalkan dasar yang agak ketat bagi menangani masalah jenayah terancang ini.

PWH dikatakan amat popular di peringkat antarabangsa terutamanya golongan pengedar-pengedar dadah, pembalak haram, kongsi gelap, bookie, pemain judi dan kumpulan pengganas.

Kendatipun terdapat pelbagai undang-undang telah digubal di seluruh dunia, namun PWH semakin sukar di kawal kerana ‘penjenayah kolar putih’ ini mempunyai cara untuk menyelamatkan diri dengan rangkaian antarabangsa, melainkan yang melakukannya secara amatur seperti Michael Chia.

MODUS OPERANDI.... Michael menggunakan kaedah pelapisan untuk menggubah wang haram agar tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa Malaysia.

PWH dikatakan berasal daripada satu kumpulan kongsi gelap/ penjenayah antarabangsa yang menggunakan duit hasil kegiatan jenayah untuk 'dilaburkan' atau 'dibersihkan' dengan menggunakan jalan-jalan yang berlandaskan undang-undang seperti menerusi aktiviti pembelian saham, stok, derivatif, futures, FOREX, insurans, pembiayaan industri/ projek yang besar, terlibat dalam sektor hartanah dan sebagainya.

Malah 'penjenayah' menggunakan wang berkenaan bagi 'membiayai' dan 'membeli' bank-bank tertentu (yang bermasalah) untuk diniagakan menerusi pelbagai skim pinjaman berfaedah termasuk segala potongan cukai bagi 'membersihkan' wang berkenaan dan mengikut 'lunas undang-undang' serta dianggap sebagai 'revenue'/hasil atau sebagai mana kata pepatah Inggeris, 'doing the wrong thing by the right way'.

PWH juga menandakan wujudnya operasi jenayah terancang (organised crime) dan transnasional kerana evolusinya amat pantas disebabkan penjenayah amat bijak menyesuaikan teknik 'pelaburan' agar sukar dikesan tambahan pula dengan adanya teknologi ICT yang mempermudah dan mempercepatkan lagi urusan 'perniagaan'.

Lazimnya apabila banyak keuntungan diperolehi dari 'pelaburan' PWH, maka dengan sendirinya kemungkinan 'keuntungan' ini digunakan pula untuk membiayai aktiviti jenayah adalah tinggi.



TUHAN.... Wang ini menjadi 'Tuhan Manusia' yang disembah peniaga yang mahu cepat kaya melalui kegiatan haram, namun penguatkuasa seperti tidak berkuasa...

Proses yang dilakukan Michael Chia dinamakan ‘Proses Pelapisan’ iaitu merupakan konsep menjadikan wang haram menerusi proses pusingan pelbagai tingkat yang kompleks termasuk menyerap ke dalam sistem pengauditan.

Tujuan utama 'pelapisan' dilakukan ialah untuk 'menidak-kaitkan sejauh mungkin' wang berkenaan daripada 'sumber asalnya'. Pelapisan biasanya dilakukan dengan aktiviti simpanan dan pengeluaran secara berulang kali menerusi akaun di bank-bank offshore kerana akaun-akaun ini melibatkan syarikat-syarikat 'kosong' yang menggunakan kaedah Electronic Funds Transfer (EFT).

Aktiviti ini amat sukar dikesan kerana wang berkenaan dibahagi-bahagikan kepada terlalu ramai individu dan 'syarikat-syarikat' dan lebih menyulitkan lagi, 'penjenayah' mengetahui bahawa apabila berlaku terlalu banyak transaksi harian di pihak bank-bank offshore, maka mereka akan mudah 'menyelinap masuk' tanpa dikesan.

KNOW... Hey, do you know me? It's look like me, smile like me, but i cant recognise either it is me? Do we know each other? Oh! may be at Danagaya Reloaded... yeah... yeah..

Selain itu, mereka juga membuat pembelian stok, komoditi, FOREX dan urusniaga lain yang sukar dikesan kerana transaksi harian yang terlalu tinggi.

Michael Chia juga menggunakan kaedah Integrasi dan Penyerapan Wang haram yang diintegrasikan atau diserap ke dalam sistem kewangan dan ekonomi yang sah dan menjadikan wang ini akhirnya seolah-olah 'dimiliki secara sah' oleh 'penjenayah'.

Dengan menubuhkan beberapa syarikat di Sabah dan luar negara, 'transaksinya terjamin dirahsiakan' kerana kononnya 'diluluskan' pinjaman yang berasal daripada 'wang haram' sehingga memberikan ruang untuk mendapatkan 'potongan cukai' dan 'pembayaran kembali' wang berkenaan dengan 'faedah'nya sekali.


MEWAH....Michael Chia hidup mewah bermandikan wang atas usaha bersungguh-sungguh BN melahirkan usahawan yang berjaya di peringkat antarabangsa.

Michael Chia juga menghantar invois yang bersabit dengan perniagaan import/ eksport terutama kayu balak bulat atau bergergaji yang memudahkan penjenayah ini memindahkan wang berkenaan dari satu syarikat ke satu syarikat yang lain atau dari satu negara ke satu negara yang lain.

Namun Michael tidak cekap menggunakan kaedah EFT menerusi bank-bank yang 'dikuasai' oleh 'penjenayah' ini seperti melalui pembelian, pelaburan, pembiayaan wang yang tinggi.

Sekalipun banyak undang-undang Anti-Laundering digubal di seluruh dunia seperti peruntukan menghadkan jumlah simpanan pada sesuatu masa, tempoh bertenang untuk pemeriksaan, tetapi penjenayah seperti Michael Chia tetap pandai mengaburi mata pihak insitusi perbankan dan kewangan dengan hanya menerusi kaedah-kaedah menggunakan nama ramai individu, syarikat-syarikat yang menjalankan berbagai jenis perniagaan sehingga mampu melumpuhkan ekonomi negara dalam masa yang sangat pantas.

Kehebatan Michael Chia kerana beliau mendapat ‘Suaka Politik’ Kerajaan Malaysia di ‘sebalik tabir’ dan Kerajaan Negeri Sabah sehingga berjaya melakukan 'Total Media Black-Out' apabila tidak ada satu media cetak yang melaporkan kes beliau sekalipun Suruhanjaya Pencegah Rasuah Hong Kong (ICAC) menangkap beliau ketika cuba membawa keluar $16 juta dolar Singapura daripada Lapangan Terbang Hong Kong.


PEJABAT.... Pejabat Michael Chia ini sedang diubahsuai agar kelihatan canggih dan menjadi tempat Yap Wai Lin yang 'buta huruf' membaca sabahkini.net setelah membeli skrin besar.

‘Kekebalan’ atau ‘imuniti’ Michael Chia begitu terserlah apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum mendakwa Michael Chia ke Mahkamah walaupun semua bukti kegiatan haramnya telah diperolehi bersama siasatan ICAC di Kota Kinabalu kerana mendapat ‘suaka (perlindungan) politik’ kerana beliau ‘dianggap’ sebagai ‘Adik Angkat’ kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Sekalipun Musa menafikan mengenali atau pernah berurusan dengan ‘Michael Chia’ setelah pemimpin DAP yang diketuai Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu dengan ditemani Lim Kit Siang membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, namun majoriti rakyat Sabah mengetahui hubungan akrab Musa dengan Michael Chia sejak 1996 lagi apabila Musa dilantik sebagai Pengarah Yayasan Sabah.

Melalui dan dengan kerjasama Pengurus Besar Kumpulan Yayasan Sabah, Daud Tampokong, Michael Chia yang telah dibantu ‘imuniti politik’ melakukan kegiatan ‘Timber Laundering’ iaitu ‘melupuskan kepentingan Jabatan Hutan dengan menyerahkan kawasan hutan simpan komersil’ kepada Yayasan Sabah untuk dibalak.


SCOW....Sebahagian daripada Scow milik Michael Chia yang memonopoli pengangkutan balan Yayasan Sabah melalui tiga syarikat miliknya.Kesemua Scow ini dibeli secara tunai.

Yayasan Sabah kemudiannya dipengaruhi agar memberikan konsesi berkenaan tanpa melalui kelulusan ‘Kabinet Negeri Sabah’ kerana mengikut peraturan kelulusan kawasan konsesi melebihi 1,000 hektar wajib mendapat kelulusan Kabinet Negeri Sabah.

Memandangkan Yayasan Sabah berkuasa penuh melantik kontraktor atau subkontraktor untuk membalak dan mengangkut kayu balak yang ditebang, maka Michael Chia telah mengungguli kegiatan ini sejak 2003 selepas Musa Aman dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah.

Sebelum ini, Michael Chia dan bapanya, Chia Nyet Min hanya dilantik sebagai ‘Agen’ menguruskan pembalakan dan pengangkutan scow bagi semua kawasan Konsesi Yayasan Sabah, namun apabila Musa mempunyai ‘Kuasa Eksekutif’, maka Michael Chia telah diluluskan kawasan pembalakan seluas 150,000 hektar melalui lima syarikat miliknya dan syarikat kroni lain sejak 2003 sehingga kini.

Terbaru, pada 22 Ogos 2009, Michael Chia telah mendapat tiga konsesi di Kawasan Hutan Simpan Komersil Kuamut iaitu YS 3/07 (5), YS 3/07 (6A) dan YS 3/07 (6B) kesemuanya seluas 6,688.55 hektar di kawasan tanah tinggi melebihi 25 darjah yang tidak boleh dibalak.

OPERASI... Scow Michael Chia sedang beroperasi di Pangkalan Silam Kennedybay sedangkan Jabatan Perhutanan Sabah memaklumkan tidak ada lagi pembalakan di Lahad Datu, namun persoalannya daripada mana kayu balak ini sedangkan kayu balak Michael dikumpul di Pangkalan Sapi, Beluran.

Jabatan Perhutanan Sabah ‘bersandiwara’ dengan menangguhkan kebenaran membalak bagi dua konsesi YS 3/07 (6A) dan YS 3/07 (6B) berikutan laporan polis yang dibuat Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat merangkap Presiden Yayasan Warisan Borneo, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Namun Jabatan Perhutanan Sabah tidak menghalang pembalakan di konsesi YS 3/07 (5) sedangkan ianya juga di kawasan tanah tinggi melebihi 25 darjah dan disyaki terlibat dengan pemalsuan peta pembalakan yang dilakukan secara terancang oleh Han Bersaudara iaitu Frank Han Kan Kong (Pengurus Besar Danagaya Sdn.Bhd) dan abangnya, Han Wai Kong yang bertugas di Unit Pemetaan/GIS Jabatan Perhutanan Sabah.

Memandangkan kegiatan pembalakan yang dilakukan Michael Chia berskala besar dan kebanyakannya melalui ‘Timber Laundering’ ini tidak direkodkan, maka Michael Chia terpaksa menggunakan kaedah PWH untuk membersihkan ‘Wang Haram’ yang diperolehi melalui ‘jenayah pembalakan terancang’ ini agar terus dilindungi apabila ‘pihak yang melindunginya’ memperoleh habuan melalui ‘Wang Haram’ yang sukar dikesan kerana melalui beberapa proses pelapisan dan transaksi sah seolah-olah berlaku ‘urusniaga’ perdagangan.

Hanya kurang daripada 20 peratus urusniaga ‘pembalakan’ ini direkodkan manakala selebihnya menyimpang daripada tatacara pengurusan untuk memberi keuntungan yang lebih dan membiayai dana yang lebih besar kepada ‘rangkaian Mafia berkolar putih’ iaitu yang berada di dalam sistem pentadbiran Kerajaan negeri yang melindungi kegiatan ‘Timber Laundering’ melalui kegiatan ‘Money Laundering’ ini.

Penangkapan Michael Chia adalah malapetaka yang besar bagi ‘Rangkaian Sindiket’ berkenaan kerana satu persatu rahsia yang disimpan kemas selama ini berjaya dibongkar oleh media alternatif setelah media arus perdana telah ‘ditawan’ oleh ‘pihak yang melindungi’ Michael Chia selama ini.

Keghairahan ‘Michael Chia’ berbelanja lebih dan rangkaian mafia antarabangsa yang bekerjasama dengannya selama ini menyebabkan beliau leka dan berasa kebal sehingga tidak menyedari rekod masuk dan keluar anak muda berambut ‘Dragon Ball’ ini dipantau oleh ICAC sejak tiga tahun lalu dengan kerjasama Interpol, walaupun SPRM hanya ‘memejamkan mata’.

Pada jam 2.30 petang, 14 Ogos 2008 adalah hari malang bagi Michael Chia dan ‘rangkaian sindiket’ yang melindunginya selama ini kerana ‘tertangkap basah’ apabila cuba menyeludup keluar $16 juta wang Singapura berdominasi 10,000 setiap satu di dalam ‘brief case’.




KOSONG.....Syarikat kosong ini ditubuhkan untuk mengaburi Lembaga Hasil dan pihak penguatkuasa serta mendapat pengecualian cukai sedangkan ia menjadi tempat Michael Chia menyuci wang haram.

Ketua Pesuruhjaya Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Panglima Ahmad Said Hamdan patut malu apabila Pengarah BPR Sabah, Puan Hajjah Latifah Md Yatim yang menyiasat kes Michael Chia ditukar ‘24 Jam’ ke Pulau Pinang atas arahan ‘pihak atasan’ sedangkan Ahmad Said bertanggung jawab penuh melindungi pegawainya yang menjalankan tugas dengan jujur, tanpa tunduk kepada tekanan.

Penukaran serta merta Latifah telah menutup rapat ‘Fail Jenayah’ Michael Chia, namun gagal menutup mata media alternatif seperti Sabahkini.net dan Malaysiatoday.net yang tidak henti-henti menyiarkan kisah ‘istimewa’ Michael Chia yang menjadi ‘Don’ atau ‘Superstar Mafia’ yang dikagumi di kalangan penjenayah antarabangsa.

Anehnya, 212 orang Ahli Parlimen Malaysia, termasuk Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Pembangkang yang membahas dan menggubal Undang-Undang Di Dewan Rakyat sehingga menjadi Akta Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Membiayai Keganasan 2001 gagal berfikir secara logik dan seolah-olah ‘buta atau dikaburi’ dengan pangkat dan harta yang mereka miliki, bagaikan ‘Penyamun disuruh menangkap pencuri’.

‘Apa ke jadahnya’ apabila Seksyen 4 (1) (a) yang dibaca bersama Seksyen 87 (1) (b) Akta Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Membiayai Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksima RM5 juta atau penjara.

Denda yang dikenakan terlalu rendah sedangkan satu transaksi PWH melibatkan ratusan juta menyebabkan Michael Chia sanggup ‘ditangkap’ 200 kali kerana mampu membayar denda bagi mengelak penjara bagaikan bermain ‘Dota’ atau ‘Warcraft’ di cybercafé.

Namun jika bagi kesalahan tersebut dipinda kepada Hukuman Gantung Sampai Mati atau Penjara Seumur Hidup atau Hukuman Tembak seperti diperkenalkan di Taiwan atau China, maka Michael Chia akan berfikir 200 kali sebelum membawa $16 juta Singapura dalam briefcasenya kerana ketika ditangkap, beliau mengaku telah melakukan perkara yang sama sebanyak 89 kali atau dengan kata lain setiap bulan sejak 2003.

Penangkapan Michael Chia merupakan ‘Jackpot’ bagi ICAC namun amat memalukan Sabah apabila Ketua Menteri Sabah meniru gaya V.K.Lingam dalam drama ‘Lingam Gate’, “Look Like me, sound like me, but its no me’ apabila beliau mengaku tidak mengenali ‘Michael Chia’ atau tidak pernah berurusan dengan ‘Michael Chia’ yang dianggap sebagai ‘invisible man’ atau manusia halimunan.

Menurut maklumat dalaman yang agak sulit daripada ICAC, Michael Chia menjelaskan modus operandi PWH yang dilakukannya sejak 2003 dengan memasukkan ‘Wang Haram’ ke akaun seorang Peguam terkenal di Sabah, Richard Barnes yang bertugas di Shelly Yap & Co sebelum wang berkenaan dipindahkan ke akaun seorang peniaga ternama.

Peniaga berkenaan akan memindahkan transaksi tersebut ke akaun seorang tokoh politik ternama bagi mengelakkan ianya dikesan Interpol dan ICAC serta SPRM yang ‘buta huruf’ berhubung PWH, apatah lagi jika ianya dilakukan di luar negara.

Praktik yang diamalkan di Malaysia agak mengelirukan kerana jenayah yang dilakukan di luar negara dianggap bukan jenayah di dalam negara. Sebagai contoh ada tokoh politik tertangkap di Australia kerana membawa tunai melebihi RM2 juta namun akibat ‘I Speak No English’ tokoh berkenaan dibebaskan dan tidak dianggap bersalah oleh Kerajaan Malaysia dan dilantik sebagai Senator dan Menteri.

Begitu juga dengan tokoh yang hanya berkelulusan ‘Darjah Enam’ ditangkap di negara jiran kerana melanggani pelacur dan memasuki negara tersebut tanpa pasport. Beberapa pemimpin Malaysia bersungguh-sungguh membebaskan ‘tokoh kampungan’ tersebut daripada penjara melalui hubungan diplomatik. Setelah dibebaskan daripada penjara di negara Jiran’ dipilih sebagai calon BN dan memenangi pilihanraya dan menyuci dosanya dengan perlantikan sebagai ‘Yang Berhormat’.

KILANG.... Kilang Scow ini juga dibeli secara tunai, namun Lembaga Hasil hanya tersenyum sinis kerana tidak berani menyiasat kerana menganggap kawasan ini sebagai 'Sarang Tebuan.'

Apatah lagi Michael Chia dan tokoh yang melindunginya, mereka dianggap ‘juara’ sekalipun hakikatnya mereka adalah ‘penderhaka’ kepada negara semata-mata kerana mereka memiliki ‘Tuhan Manusia’ yang disembah ‘penjenayah antarabangsa’ iaitu ‘wang’ sehingga apa sahaja yang mereka lakukan dianggap ‘maksum’ dan pihak yang membongkar kejalangan mereka dituduh sebagai ‘penyebar fitnah’.

Melalui kegiatan PWH, Michael Chia hidup mewah dan mampu membeli atau melakukan apa sahaja termasuk membeli bangunan, kereta mewah, mesin dan hartanah secara tunai tanpa berani disentuh oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri atau Jabatan Kastam.

Walaupun undang-undang Negara menetapkan dan memberi kuasa kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri untuk menganggap mana-mana entiti sebagai pengganas dan boleh merampas harta benda entiti berkenaan dan boleh dilucuthakkan kepada Kerajaan Persekutuan, namun belum ada tanda-tanda menteri akan bertindak demikian sekalipun portal Malaysiatoday.net telah mendedahkan segala-galanya.

TUNAI.... Bangunan empat tingkat ini dibeli secara tunai menggunakan wang hasil money launderingnya namun tidak ada siapa berani mengganggu berbanding jika seorang kerani membeli peti sejuk secara tunai!

Hasil kegiatan PWH yang dijalankannya selama ini, Michael Chia telah Berjaya memiliki harta berikut;

1) Empat buah kereta mewah Lamborghini dan satu daripadanya bernombor WDQ 12, sebuah daripadanya disimpan di Singapura.

2) Sebuah Mercedes S 350

3) Sebuah Mercedes SLK yang bernombor SAA63K

4) Dua buah Skyline Model Terbaru (R35)

5) Sebuah Nissan 350 (Ferlidy)

6) Sebuah Hammer

7) Sebuah BMW 7 Series bernombor SA9988R

8) Lima buah Scow atau Tongkang mengangkut balak

9) Sebuah Gudang Scow

10) Sebuah bangunan empat tingkat

11) Sebuah bangunan pejabat

12) Wang Simpanan USD100 juta atas nama isterinya Yap Loo Mien di Hong Kong

13) Wang Simpanan USD 30 juta atas nama gundiknya, Yap Siaw Lin di Hong Kong

14) Wang Simpanan USD 100 juta di UBS Hong Kong

15) Wang Simpanan USD 500 juta di HSBC Hong Kong atas nama pemegang amanahnya.

16) Dua buah rumah di Taman Tyng termasuk Garaj Kereta Mewah

17) Tiga Lot mewah di Sutera Harbour Kota Kinabalu

ISTANA....Rumah Michael Chia di Taman Tyng, Sandakan dan gambar bawah sebahagian kereta yang dibeli secara tunai.

Sesuatu yang agak menarik, Musa Aman yang mengakui tidak mengenali Michael Chia atau tidak pernah berurusan dengan Michael Chia telah menjual BMW 7 Series yang pada mulanya didaftarkan atas nama Innoprise Corporation Sdn.Bhd sebelum dilupuskan dan dibeli Musa Aman. Namun BMW tersebut dijual kepada Michael Chia secara tunai dan didaftarkan atas nama beliau sendiri setelah bukti pemilikan Musa dilupuskan melalui kad pendaftaran baru kerana kad lama dilaporkan hilang.

TIDAK KENAL.... Kereta BMW 7 Series ini Michael beli daripada orang yang tidak dikenali bernama Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

BMW ini digunakan Michael Chia di Kuala Lumpur dan disimpan di rumah No 23, Jalan Sri Taming 1 B, Taman Sri Taming, Batu 9, Cheras, Selangor yang didiami ‘adik iparnya’, iaitu adik kepada Yap Siaw Lin.

Dalam kenanaran pemimpin UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional untuk memperkasa Ketuanan Melayu yang diumpamakan sebagai ‘jauh panggang daripada api’, namun mereka sepatutnya berbangga kerana telah melahirkan ‘Tokoh Perniagaan Terkemuka’ dalam bidang ‘Money Laundering’ yang bertaraf dunia seperti Michael Chia!


NOTA: PANDANGAN atau artikel ini tidak semestinya pandangan Sabahkini.net yang menyiarkan artikel ini setelah menyiasat bukti yang disertakan adalah sahih dan dapat dibuktikan secara munasabah.

CARTA ORGANISASI EMPAYAR McMUSA





Written by Admin
Monday, 14 September 2009 11:26

Oleh: HAFIZ JAMAIL

PENDEDAHAN Pengerusi Yayasan Warisan Borneo (BHF), merangkap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan melalui artikel ‘Empayar McMusa Mula Goyah’ yang disiarkan di Sabahkini.net membuatkan saya menerima begitu banyak email terutama memberi maklumat tambahan untuk mengukuhkan dakwaan Jeffrey.

Memandangkan kes ini ada kaitan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, maka ianya menarik perhatian umum terutama kekayaan luar biasa yang dikumpulkan sepanjang tempoh beliau menjadi Ketua Menteri (Mac 2003 hingga kini).

Sebagai penghantar saman kepada sebuah syarikat guaman, saya lihat Musa tergamam apabila saya menyerahkan sapena kepada beliau ketika Persidangan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra sehingga beliau enggan menerimanya walaupun telah membaca isi kandungannya.

Saya terpaksa menghantar sapena tersebut sekali lagi ke Pejabat beliau di Tingkat 18, Wisma Innoprise, namun beliau berjaya mengelak daripada memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Sandakan setelah Mahkamah meluluskan pengecualian beliau hadir dan Peguam Negara bersedia mewakilinya.

Sebagai anak jati Sandakan, saya kenal Musa Aman sejak 1992 dan kenal Michael Chia serta bapanya Chia Nyet Min, namun ianya tidak menarik minat saya membuat kajian terhadap hubungan Musa Aman dengan Michael Chia dan keluarganya, melainkan setelah Michael Chia ditangkap di Hong Kong atas tuduhan ‘Penggubahan Wang Haram’.

Daripada kajian saya, Empayar McMusa yang wujud sejak 1996 ketika beliau menjadi Pengarah Yayasan Sabah, bukanlah satu rahsia bagi penduduk Sandakan, hatta orang cacat penglihatan di Sungai Manila Sandakan pun tahu hubungannya Michael Chia yang cuba dinafikan Musa Aman.

Berikut adalah Carta Organisasi yang saya sediakan berdasarkan maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menunjukkan bahawa Yayasan Sabah termasuk Jabatan Perhutanan Sabah (Unit Perhutanan) berada di bawah cengkaman McMusa.

Dengan kelulusan lebih 150,000 hektar kawasan balak kepada lima syarikat Michael Chia sejak 2003, adalah tidak mustahil Empayar McMusa ini akan terus cemerlang selagi Perdana Menteri mengutamakan Musa dan Kroni lalu mengabaikan rakyat yang selama ini menyokong Konsep 1Malaysia yang digagaskannya.

Konsesi Pengangkutan balak Yayasan Sabah melalui Scow yang dimonopoli oleh Michael Chia merupakan ‘dana yang mencurah-curah’ ke dalam akaun Musa Aman terutama ‘tunai’ yang dihantar sendiri oleh Michael Chia kepada Musa Aman sehingga Michael Chia terlupa ada mata yang memerhatinya membawa ‘brief case’ masuk ke rumah Musa Aman sedangkan beliau keluar dengan tangan kosong!

TUBUH UNIT KHAS SIASAT PEMALSUAN





Written by Admin
Monday, 14 September 2009 10:23

Oleh: ZAINUDDIN HASSAN

BERDASARKAN dua laporan polis yang dibuat oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, di Balai Polis Penampang iaitu PPG/RPT 5914/09 dan PPG/RPT/6019/09, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sewajarnya menubuhkan Unit Khas daripada Bahagian Jenayah Komersil Bukit Aman untuk menyiasat kes pemalsuan Peta Pembalakan yang melibatkan Kerajaan Negeri Sabah kehilangan sumber hutan dan menimbulkan impak alam sekitar yang tidak terkawal.

Walaupun Jabatan Perhutanan Sabah segera menangguhkan pelaksanaan dua lesen membalak bagi Konsesi YS 3/07 (6A) dan YS 3/07 (6B) di kawasan Hutan Simpan Komersil Kelas II Kuamut, Kinabatangan sejurus selepas laporan polis dihantar melalui faksimili daripada Balai Polis Penampang, namun Pengarah Perhutanan Sabah meneruskan lesen pembalakan Konsesi YS 3/07 (5) yang diperolehi melalui modus operandi pemalsuan peta pembalakan yang sama.

Sehubungan dengan itu, atas arahan Pucuk Pimpinan PKR, saya telah menghantar notis bertulis kepada Pengarah Perhutanan Sabah pada 10 September 2009 meminta penjelasan kenapa pembalakan di Konsesi YS 3/07 (5) diteruskan sedangkan ianya termasuk di kawasan tanah tinggi melebihi 25 darjah dan diluluskan berdasarkan Peta Pembalakan yang dipalsukan dengan memberi tempoh 14 hari daripada tarikh notis tersebut diterima untuk mereka memberikan penjelasan bertulis atau siaran akhbar.

Dalam hal ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih dibelenggu dengan pelbagai masalah mungkin tidak mempunyai kepakaran untuk menyiasat kes penipuan dan pemalsuan peta pembalakan kerana ianya di bawah jurisdiksi Bahagian Jenayah Komersial Polis Di Raja Malaysia.

SPRM hanya terlibat dalam soal ‘rasuah dan salahguna kuasa’ hanya jika terdapat alibi kukuh pembayaran wang daripada Michael Chia kepada Datuk Sam Mannan, Han Wai Kong dan kakitangan yang terlibat dalam proses pemalsuan peta pembalakan, namun ianya belum dizahirkan secara sah, maka PDRM harus menyiasat bagaimana pemalsuan peta pembalakan dilakukan bagi mendapatkan Lesen Pembalakan di kawasan yang tidak boleh dibalak.

Mungkin kes ini agak rumit dan baru didedahkan kepada umum, maka PDRM mungkin mengalami masalah teknikal dan terpaksa meminta bantuan unit forensik untuk menentusahkan peta asal dengan peta yang dipalsukan oleh Han Wai Kong, maka ada wajarnya jika mereka menggunakan khidmat Jabatan Topografi dan Pemetaan Negara serta Unit Remote Sensing Negara yang boleh memberikan gambaran sebenar.

Sebagai warganegara Malaysia yang cintakan negeri dan negara ini, saya telah menjalankan siasatan sendiri dengan bantuan kakitangan Jabatan Perhutanan yang jujur dan berkhidmat dengan penuh tanggung jawab, namun maruah mereka dicemari oleh kakitangan yang tidak amanah seperti Han Wai Kong, Othman Matnoh dan sebagainya, termasuk Pengarah Perhutanan Sabah sendiri, secara sedar turut bersubahat dan terlibat secara langsung dengan sindiket pemalsuan peta pembalakan dan mengeluarkan lesen pembalakan sekalipun beliau tahu, dengan maklumat yang berada di hujung jari, kawasan berkenaan TIDAK BOLEH dibalak.

Mengikut maklumat dalaman Jabatan Perhutanan Sabah, permohonan lesen membalak bagi YS 3/07 (5), YS 3/07 (6A) dan YS 3/07 (6B) yang dikemukakan kepada Jabatan Perhutanan akan diminit terus ke Bahagian GIS/Unit Pemetaan untuk pemprosesan.

Di Unit GIS/Pemetaan, Pegawai yang bertanggung jawab, Han Wai Kong akan berbincang dengan adiknya iaitu Pengurus Besar Danagaya Sdn.Bhd, Frank Han Kan Kong bagi menyediakan draf peta pembalakan yang dipalsukan dengan mengecilkan pelan kontour kawasan tanah tinggi sehingga ianya kelihatan landai dan di bawah 25 darjah.

Setelah draf kasar pelan palsu disediakan, Frank Han akan mendapatkan persetujuan daripada pemilik dan Pengarah Danagaya Sdn.Bhd iaitu Michael Chia dan Yap Siaw Lin terutama rundingan komisyen untuk Han Wai Kong dan kakitangannya (jumlah tidak diketahui).

Setelah harga dipersetujui (tidak ada yang mahu melakukan penipuan secara sukarela), Han Wai Kong akan mengarahkan kakitangannya, terutama Othman Matnor atau kakitangan lain menyediakan peta palsu dengan melandaikan kecuraman tanah tinggi terutama di konsesi YS 3/07 (5), YS 3/07 (6A) dan YS 3/07 (6B) yang pada prinsipnya tidak seincipun kawasan tersebut boleh diteroka atau dibalak.

Lazimnya, pemeriksaan lapangan akan dilakukan bersama dengan Wakil Syarikat, KPPM Tongod dan Othman Matnoh dan Rahmadin Saini daripada unit GIS Jabatan Perhutanan.

Namun dalam kes permohonan pemalsuan peta pembalakan Danagaya Sdn.Bhd yang disediakan oleh Han Wai Kong dan kakitangannya, TIDAK ADA sebarang pemeriksaan lapangan dilakukan dan sebenarnya TIDAK PERNAH dilakukan langsung.

Sebaliknya, Othman Matnoh dan Rahmadin Saini akan menyediakan laporan palsu berdasarkan peta pembalakan palsu yang disediakan Han Wai Kong dan dilukis oleh kakitangannya termasuk Othman Matnoh.

Kesemua laporan pemeriksaan dan peta palsu disediakan untuk proses pengeluaran lesen membalak akan dihantar kepada Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan.

Setelah semua peta dan laporan palsu berkenaan berada di meja Pengarah Perhutanan, Michael Chia akan meminta orang kepercayaan Datuk Musa Aman iaitu Datuk Albert Lim Yu Ming menghubungi Pengarah Perhutanan untuk meluluskan Lesen Membalak bagi YS 3/07 (5), YS 3/07 (6A) dan YS 3/07 (6B).

Setelah persetujuan diberikan berdasarkan beberapa syarat termasuk bayaran komisyen (tidak ada orang melakukan kerja jenayah ini jika tidak ada bayaran), Pengarah Perhutanan akan menandatangani Lesen Membalak yang telah disediakan oleh Pegawai Pelesenan Jabatan Perhutanan.

Frank Han akan datang mengambil lesen berkenaan untuk diberikan kepada Michael Chia bagi penyediaan Jaminan Bank dan proses memulakan kegiatan pembalakan, namun lazimnya mereka telah menjalankan kerja pembalakan secara haram sebelum lesen dikeluarkan dan jaminan bank disediakan.

Jenayah terancang ini, jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan Sabah akan kehilangan satu-satunya hutan tertua di kawasan tanah tinggi yang masih tinggal dan amat penting untuk ekosistem dan biodiversiti.

Sehubungan itu, sebagai menghargai amanah Perdana Menteri Malaysia yang melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Polis Negara selama satu tahun lagi, maka siasatan segera harus dijalankan untuk menaikkan imej polis dan memulihkan kepercayaan rakyat Sabah terhadap PDRM yang selama ini sering ditohmah sebagai salah satu komponen salahlaku rasuah.

Sejajar dengan amanat yang ditinggalkan Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, “Kita bukannya mewarisi bumi ini daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada anak cucu kita. Maka kita harus kembalikan kepada mereka dalam keadaan sempurna.”

Bagi melicinkan siasatan, sewajarnya Ketua Menteri Sabah menunjukkan kesungguhan menjaga khazanah hutan dengan meminta Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan dan han Wai Kong bercuti semasa siasatan dijalankan oleh Bahagian Jenayah Komersil Bukit Aman bagi mengelak percanggahan kepentingan.

Tidak boleh tidak, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Setiausaha Hasil Bumi wajib bertindak segera membatalkan semua kelulusan konsesi pembalakan yang telah diluluskan kepada Danagaya Sdn.Bhd dan mengembalikan kawasan berkenaan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk dipulihara dan dinaiktaraf sebagai Hutan Simpan Kekal Kelas 1 melalui bantuan dana yang disalurkan Bank Dunia dan WWF kerana kawasan yang diluluskan lesen pembalakan tersebut adalah Sanktuari Semula Jadi Orang Utan di kawasan tanah tinggi melebihi 25 darjah.

Jabatan Audit Negara yang selama ini hanya melakukan auditan kewangan harus menubuhkan Auditan Lapangan untuk mencegah kegiatan pembalakan ‘haram’ yang diberi lesen secara tidak sah dan memastikan sumber hutan berkekalan sebagai kejayaan Unit Khas Jabatan tersebut sekitar 1990 hingga 1993 memantau semua aktiviti Perhutanan di Sabah.

Auditan Inventori hutan yang dilakukan di atas kertas adalah ‘persubahatan jenayah’ dan sewajarnya kup pembalakan harus mendapat pengesahan daripada Jabatan Audit Negara agar tidak ada lagi kayu di bawah ukur lilit atau melebihi ukur lilit (mother tree) atau spesis dilindungi ditebang sesuka hati.

Kajian secara ‘Random Sampling’ bagi ‘Tunggul’ (Stump) yang ditinggalkan di kawasan konsesi harus dilaksanakan sebelum wang cagaran dikembalikan kepada pembalak kerana kecenderungan pembalak menebang kayu di bawah atau melebihi saiz amat tinggi terutama di kawasan yang diluluskan berdasarkan pemalsuan peta dan laporan pemeriksaan lapangan.

Semua rakyat Sabah mengharapkan agar profesionalisme Jabatan Perhutanan, PDRM, Audit Negara dan semua jabatan penguatkuasa ditingkatkan dari semasa ke semasa kerana mereka merasakan rugi membayar gaji pegawai dan kakitangan yang berkhidmat untuk pembalak haram yang berlesen!

EMPAYAR McMUSA MULA GOYAH?





Written by Admin
Friday, 11 September 2009 15:49

Oleh: DATUK DR JEFFREY KITINGAN

KETIKA menjadi Pengarah Yayasan Sabah 1984-1994, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ketika itu Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah secara mala-fide memfitnah dan membuat tuduhan palsu ke atas saya kononnya terlibat dengan Skandal RM4 Billion, semata-mata untuk ‘membunuh’ Kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) kerana ketika itu PBS mendapat sokongan akar umbi dan keluar daripada Gagasan Barisan Nasional.

Mujur niat jahat mereka untuk ‘memusnahkan’ kerjaya saya tidak direstui Tuhan kerana mereka gagal mengemukakan bukti melampaui keraguan munasabah sehingga Mahkamah membebas dan melepaskan saya tanpa syarat, namun agak malang kerana kesannya terhadap PBS masih terasa sehingga kini.

Paling memalukan, mereka menangkap saya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama rakan-rakan saya yang tidak berdosa dan kemudiannya membuat pertuduhan palsu ke atas saya sedangkan saya tidak menahu dan tidak melakukan sebagaimana yang didakwa. Mulut saya terkunci kerana tahanan ISA tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan dan hanya di Mahkamah Keadilan baru saya dapat bersuara.

Saya telah membuat laporan polis dan SPRM terhadap Ketua Menteri Sabah dan kroninya melalui 81 Dalil yang lengkap dengan bukti dan keterangan terutama Skandal Wisma Bandaraya dan Konsesi Pembalakan yang dilakukan Musa Aman semasa beliau menjadi Pengarah Yayasan Sabah, Menteri Kabinet dan Ketua Menteri Sabah.

Ironinya, bukan sahaja Musa Aman tidak pernah disiasat atau dipanggil untuk memberi keterangan, malah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dianugerahi pingat Seri Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (S.P.D.K) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima; Pengarah Siasatan Datuk Jamidan Abdullah dan Pengarah Pendakwaan SPRM Datuk Shukri Abdull dianugerahi Pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) serta Bekas Pengarah SPRM Sabah, Puan Hajjah Latifah Md Yatim dianugerahi Pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K).

Masa untuk bercerita tentang pingat telah berlalu, kini tiba masanya untuk menjalankan siasatan berdasarkan dua laporan polis terbaru saya di Balai Polis Penampang PPG/RPT/5914/09 dan PPG/RPT/6019/09 berhubung kes pemalsuan geran dan pemberian konsesi melalui pintu belakang kepada ‘orang yang tidak dikenalinya’, Michael Chia Tien Foh, yang umum tahu terlibat dengan Kes Penggubahan Wang Haram $S 16 juta di Hong Kong.

Jika dulu Malaysia telah dijajah oleh McDonalds, tetapi kini setelah McCurry memenangi kes paten jenama ‘Mc’ di Mahkamah, timbul pula isu ‘McMusa’, satu jenama baru yang kukuh dalam Empayar Perniagaan di Sabah sejak Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah (2003 hingga kini).

Walaupun ‘McMusa’ tidak dipatenkan dan tidak terlibat dengan perniagaan ‘Franchise’ Makanan Segera, namun McMusa mendapat ‘Franchise’ konsesi ‘Pembalakan Segera’ dan ‘Kontrak Pengangkutan Segera’ yang menjadi nadi kekuatan memperkasa ‘McMusa’ untuk selamanya, selagi Barisan Nasional berkuasa di Sabah.

Modus Operandi yang dilakukan melalui ‘Timber Laundering’ adalah keterlaluan dengan kerjasama Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan dan Pengurus Besar Kumpulan Yayasan Sabah, Mohd Daud Tampokong iaitu kegiatan ‘memfaraidkan’ hutan simpan kelas I atau kelas II kepada Yayasan Sabah sebelum diberikan Konsesi Pembalakan oleh Rakyat Berjaya Sdn.Bhd iaitu anak syarikat Yayasan Sabah.

Datuk Sam Mannan bukan sahaja ‘merestui’ pemalsuan Pelan Pembalakan, iaitu menjadikan kawasan tanah tinggi 25 darjah ke atas kepada 10 hingga 24 darjah bagi membolehkan lesen Pembalakan di keluarkan Jabatan Perhutanan.

Pada mulanya saya berbangga dengan Datuk Sam Mannan yang sebelum ini bersusah payah menemui Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad membantah sekeras-kerasnya pengwujudan Benta Wawasan oleh Pengarah Yayasan Sabah ketika itu, Datuk Musa Haji Aman.

Namun apabila Musa Aman dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah, Datuk Sam Mannan membuat u-turn 360 darjah dengan terlibat secara langsung mengeluarkan kawasan Hutan Simpan untuk dibalak termasuk Segama-Malua sehingga menjadi ‘padang jarak padang tekukur’ dan mengeluarkan lesen pembalakan di Kawasan Benta Wawasan dibantahnya sebelum ini.

Oleh itu tidak hairan jika beliau merestui pembalakan di kawasan 25 darjah ke atas kerana telah berpengalaman membuat pusingan 360 darjah di tiga konsesi di Hutan Simpan Kelas II Kuamut yang telah saya dedahkan sebelum ini iaitu kepada Danagaya Sdn.Bhd sedangkan kawasan berkenaan tidak langsung boleh dibalak.

Dua daripada konsesi itu iaitu YS 3/07 (6) Seksyen A dan YS 3/07 (6) Seksyen B telah ditangguhkan pembalakannya hasil bantahan saya, namun pembalakan di Konsesi YS 3/07 (5) masih berjalan sedangkan Pelan Kawasan tersebut juga dipalsukan oleh Han Wai Kong di bahagian Remote Sensing Jabatan Perhutanan Sabah, iaitu abang kepada Fran Han Kan Kong, Pengurus Besar Danagaya Sdn.Bhd.

Saya turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR, Zainuddin Hassan yang bukan sahaja telah memfailkan laporan di pejabat SPRM, malah turut menghantar notis meminta penjelasan 14 hari kenapa Jabatan Perhutanan tidak menghentikan kegiatan pembalakan di konsesi YS 3/07 (5) yang sebahagian besarnya adalah tanah tinggi melebihi 25 darjah.

Bukti terbaru yang saya terima ini amat mengejutkan iaitu Sam Mannan dan pegawainya menyediakan laporan pemeriksaan palsu bagi membolehkan lesen dikeluarkan kepada Danagaya Sdn.Bhd atas kapasiti mereka sebagai Pegawai Perhutanan atau atas arahan ‘pihak tertentu’ termasuk Musa Aman.

Surat yang dikemukakan Sam Mannan akan saya dedahkan kemudian kerana saya lebih berminat dengan dua surat yang disediakan masing-masing oleh Othman Matnoh dan Rahmadin Saini daripada Unit GIS (Geography Information System) Jabatan Perhutanan Sabah.

Dua pegawai ini dijadikan ‘kambing hitam’ untuk menyediakan laporan pemeriksaan lapangan ini sedangkan laporan disediakan di pejabat mereka berasaskan pelan yang disediakan oleh Han Wai Kong atas arahan ‘pihak tertentu’.

Dengan adanya pegawai yang tidak amanah menjalankan tugas dan Pengarah Perhutanan dan Pengurus Besar Kumpulan Yayasan Sabah yang hanya tahu menurut arahan dan memikirkan keuntungan singkat, maka wujudlah sebuah Empayar Perniagaan yang amat besar di Sabah iaitu ‘McMusa’ hasil gabungan ‘Empayar Mc’ iaitu singkatan bagi Michael Chia dan Chia Nyet Min (bapa Micheal) dan Musa Aman yang pernah mengisytiharkan hartanya kepada Tan Sri Chong Kah Kiat, iaitu pada 2003 sejumlah RM300 juta setelah dilantik Pengarah Yayasan Sabah, pada 1996 oleh Datuk Seri Panglima, Mohd Salleh Tun Said, Ketua Menteri Kedua di bawah sistem ‘Merry Go round’ yang tidak lagi ‘round’ selepas Musa memegang jawatan berkenaan pada 30 Mac 2003.

Mengikut siasatan dan maklumat yang saya terima, sejak Yayasan Sabah mengswastakan tongkang (Scow) mengangkut kayu balak dari log pond ke lokasi terpilih termasuk ke kapal, dua syarikat milik ‘Bapa Angkat Musa Aman’ iaitu Chia Nyet Min, Kini Abadi Sdn.Bhd dan Imej Berlian Sdn.Bhd telah dilantik bagi menjalankan kontrak berkenaan secara ‘Monopoli’ kerana dua syarikat berkenaan milik ‘Empayah Mc’ yang disokong oleh Sabawangsa Sdn.Bhd sebagai sub-kontraktor.

Jika Musa Aman tidak kenal siapa Michael Chia, dia bukan Musa Aman kerana hubungan antara bapa Michael Chia dengan Musa Aman bermula pada 1993 ketika Chia & Sons hanya menjadi agen pengakutan scow dan bukannya pemegang konsesi pengangkutan seperti sekarang.

Kesemua balak milik Yayasan Sabah di Konsesi Sandakan, Tawau dan Lahad Datu melalui 52 syarikat yang beroperasi di dalam Konsesi Yayasan Sabah termasuk Hutan Simpan yang dijadikan ‘Timber Laundering’ kepada Yayasan Sabah diangkut dengan menggunakan scow milik Kini Abadi Sdn.Bhd dan Imej Berlian Sdn.Bhd.

Kontrak yang dimateri tersebut menghendaki semua balak Yayasan Sabah di angkut daripada Pangkalan Sapi ke Sandakan, daripada Silam Kennedy Bay (Lahad Datu) ke Sandakan dan Tawau ke Sandakan. Walaupun kononnya Jabatan Perhutanan Sabah mengumumkan bahawa sejak 2008 tidak lagi lesen pembalakan dikeluarkan di Lahad Datu, namun pelabuhan Silam Kennedybay yang sebelum ini telah ditutup dijadikan Log Pond untuk semua kayu Yayasan Sabah sedangkan kayu daripada kawasan Tongod semuanya diturunkan di Pangkalan Sapi.

Misteri ‘kehadiran’ banyak kayu balak di Log Pond Silam Kennedy Bay masih belum terjawab kerana SPRM dan Jabatan Audit Negara tidak berminat untuk menjalankan siasatan terutama apabila balak bulat tersebut terus dimuat ke kapal dan bukannya ditarik dengan Scow ke Sandakan. Ke mana destinasi balak tersebut hanya Yayasan Sabah yang tahu!

Walaupun terdapat empat syarikat aktif yang mengendali Scow di Sabah namun mereka tidak dapat menyertai sebarang tender pengangkutan Yayasan Sabah kerana dimonopoli oleh ‘Empayar Mc’.

Saya mendapat maklumat serta bukti yang sahih, namun tidak wajar didedahkan sekarang, melainkan jika benar-benar mendesak, bahawa Yayasan Sabah membayar sejumlah RM15.75 bagi setiap meter padu balak yang dikendalikan oleh ‘Empayar Mc’ namun RM3 akan dipotong sebagai pembahagian syer kepada Musa Aman sejak 2003 secara tunai, iaitu Michael Chia akan menghantar sendiri secara peribadi ‘wang tunai’ tersebut kepada Musa Aman setiap bulan.

Manakala bagi kawasan Konsesi Yayasan Sabah, saya mendapati Musa Aman telah meluluskan 150,000 hektar kawasan konsesi pembalakan kepada ‘Empayar Mc’ sejak 2003 kepada Danagaya Sdn.Bhd, Rimba Kita Sdn. Bhd, Sinabumi Sdn.Bhd, Wangsajadi Sdn.Bhd yang kesemuanya milik Michael Chia yang menggunakan nomineenya, iaitu Gundiknya, Yap Siaw Lin.

Mengikut maklumat yang saya perolehi, Michael Chia akan membayar komsiyen sejumlah antara RM3,000 hingga Rm5,000 sehektar konsesi balak kepada Musa Aman melalui akaun Pemegang Amanah di Hong Kong & Shang Hai Bank, Central Hong Kong.

Michael Chia telah beberapa kali ke Hong Kong untuk mendepositkan dan mengeluarkan wang bagi pihak Musa Aman termasuklah Skandal $S16 juta dan saya akan mendedahkan apabila tiba masanya kerana ianya masih dalam siasatan ICAC dan saya tidak mahu mengganggu kelicinan siasatan.

Walaupun tidak ada media melaporkan kes siasatan ICAC terhadap Michael Chia yang dituduh mempunyai hubungan langsung dengan Musa Aman, namun saya mempunyai rekod penerbangan Michael Chia ke Hong Kong setiap bulan untuk disoalsiasat oleh ICAC Hong Kong.

Malangnya, SPRM yang kononnya mempunyai peralatan yang canggih gagal mengesan pergerakan Michael Chia ke Hong Kong, apa tah lagi mahu menyiasat kekayaan luar biasa yang diperolehi Michael Chia yang mengetuai ‘Empayar Mc’ sejak ditangkap ICAC pada 2.35 petang khamis, 14 Ogos 2008 setelah diintip ICAC berada di Bank Hong Kong Shang Hai, Central Hong Kong pada 13 Ogos 2008.

Mengikut rekod bertulis di ICAC Hong Kong, Michael Chia telah hadir di pejabat ICAC Hong Kong pada tarikh berikut, 10 September 2008, 01 Oktober 2008, 9 November 2008, 30 November 2008, 4 januari 2009, 10 Februari 2009, 30 Mac 2009 namun ianya gagal dikesan oleh SPRM.

Mengikut maklumat dalaman ICAC, mereka sedang peringkat akhir untuk membuat pendakwaan kerana masih memburu seorang lagi ‘agen’ yang terlibat memasukkan wang bagi pihak Michael Chia ke akaun pemegang amanah Musa Aman iaitu seorang peguam di Shelly Yap & Co, Richard Barnes.

Kedatangan ICAC Hong Kong ke Malaysia untuk menemui Richard Barnes ditemani oleh SPRM Sabah bukan menjadi rahsia lagi dan sewajarnya SPRM Sabah mengetahui kes Michael Chia, namun tidak ada fail dibuka untuk menjalankan siasatan melainkan kes Paluamas Sdn Bhd yang sedang dibicarakan di Mahkamah.

Walaupun ada desas desus bahawa wang USD4 billion yang dirampas daripada akaun pemegang amanan berkenaan sudah dicairkan atas pertolongan Kerajaan Malaysia, namun ianya tidak dapat dipastikan kerana Kes Michael Chia masih di peringkat pendakwaan dan tidak mungkin Kerajaan Hong Kong terpedaya dengan surat palsu daripada Jabatan Perdana Menteri Malaysia yang mengesahkan wang berkenaan Milik Kerajaan Negeri Sabah atau Milik UMNO.

Perkembangan terbaru yang tidak menyenangkan saya ialah khabar angin yang mengatakan bahawa Michael Chia sudah membayar RM1.5 juta kepada seorang lelaki, Datuk Albert Lim Yu Ming sebagai pendahuluan daripada sejumlah RM3 juta yang dipersetujui untuk menutup kes rasuah yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang dituduh bersama seorang rakan kongsinya, Lo Man Heng.

Sejak Michael Chia tertangkap di Hong Kong, Albert Lim telah menjadi ‘Orang Paling Kanan’ Musa Aman selain seorang lelaki H.Lim yang menjadi penghubung antara Albert Lim dengan SPRM.

Memandangkan isu yang saya kemukakan di sini amat serius, maka saya memohon jasa baik Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang telah disambung perkhidmatannya selama satu tahun lagi agar menubuhkan unit khas untuk menjalankan siasatan berhubung dengan ‘Skandal Timber Gate’ ini untuk menaikkan imej polis yang tercemar dengan beberapa insiden yang memalukan.

Saya juga memuji Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, kerana walaupun saya membuat laporan polis ketika beliau menerima pingat S.P.D.K daripada Kerajaan Negeri, namun beliau menjalankan siasatan ‘olok-olok’ terhadap Michael Chia namun tidak langsung menyentuh Musa Aman yang menjadi ‘Key Man’ untuk ‘Empayar McMusa’ ini.

Siasatan saya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Kini Abadi Sdn.Bhd (253669-A) yang ditubuhkan pada 9 Disember 1992 dimiliki oleh Chia Nyet Min yang memegang 249,998 saham manakala anak-anaknya, Chia Wai Sim dan Chia Wai Hing masing-masing memiliki satu unit saham setiap seorang. Ketiga mereka menjadi Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat berkenaan.

Walaupun syarikat ini mendapat konsesi pengangkutan Yayasan Sabah, namun berdasarkan penyata kewangan bagi tahun berakhir pada 31 Julai 2008, syarikat ini tidak memfailkan penyata kewangan bagi tahun semasa.

Manakala Imej Berlian Sdn. Bhd (331270-D) yang ditubuhkan pada 18 Januari 1995 dimiliki Chia Nyet Min yang memegang 998 unit saham, manakala anak-anaknya, Chia Ten sang dan Chia Wai Hing masing-masing memegang saham nominal satu unit setiap seorang. Ketiga-tiga mereka juga menjadi Ahli Lembaga Pengarah dan Chia Wai Hing dilantik sebagai Pengurus.

Mengikut penyata kewangan yang berakhir 30 April 2008, Imej Berlian Sdn.Bhd memperolehi hasil RM18.26 juta setahun dan hanya mengisytiharkan untung selepas cukai sebanyak RM597,782 sahaja.

Bagi Sabawangsa Sdn.Bhd (729096-M) yang ditubuhkan pada 04 April 2006 dimiliki oleh Michael Chia Tien Foh yang memegang 49,999 saham, manakala isteri pertamanya, Yap Loo Mien juga memiliki jumlah saham yang sama dengan Michael Chia. Pemilik saham lain ialah Chua Fong Fong dan Freddy Mositoh yang masing-masing memegang satu unit saham setiap seorang.

Michael Chia melantik Yap Loo Mien dan Lu Tung Hung sebagai Ahli Lembaga Pengarah Sabawangsa yang tidak menghantar penyata kewangan bagi tahun berakhir 2008.

NOTA PENTING: Pandangan yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi Datuk Dr Jeffery Kitingan dan tidak semestinya pandangan laman web ini. Bukti dan grafik yang disertakan tidak semuanya dipamerkan melainkan sesuai untuk siaran. Sabahkini.net tidak bertanggung jawab di atas sebarang tindakan undang-undang (jika ada) berkaitan artikel ini.

SIASAT SEGERA SAM MANAN DAN TANGKAP DAUD TAMPOKONG?





Written by Admin
Tuesday, 08 September 2009 13:55

Oleh: HAFIZ JAMAIL

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan menangkap Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan dan Pengurus Besar Kumpulan Yayasan Sabah, Mohd Daud Tampokong kerana disyaki terlibat dan bersubahat dengan pemalsuan pelan pembalakan di kawasan tanah tinggi di Hutan Simpan Komersil Kelas II Kuamut.

Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Zainuddin Hassan berkata demikian selepas mengetuai AMK Sabah membuat laporan di Pejabat SPRM, Kota Kinabalu petang kelmarin setelah meneliti fakta dan dakwaan Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan seperti yang disiarkan di dalam sabahkini.net dan The Star.

“Kita telah bermesyuarat dengan Ketua Angkatan Muda PKR Malaysia dan telah mencapai kata sepakat untuk membuat laporan di Pejabat SPRM Sabah berhubung kegiatan pemalsuan pelan pembalakan sehingga lesen pembalakan dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah kepada syarikat kroni Ketua Menteri Sabah,” ujar Zainuddin.

Dalam hal ini, Sam Mannan dan Daud Tampokong tidak boleh lepas tangan kerana lesen dikeluarkan secara tidak sah melalui sindiket yang terancang sejak 2003 dan kali terakhir tiga lesen baru dikeluarkan pada 22 Ogos 2009 kepada Danagaya Sdn.Bhd untuk membalak di kawasan tanah tinggi melebihi 25 darjah.

“Oleh kerana Danagaya Sdn.Bhd dimiliki oleh Jutawan Michael Chia yang masih dalam siasatan ICAC Hong Kong kerana terlibat dengan Penggubahan Wang Haram, maka secara jelas ianya melibatkan kelulusan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, maka kita desak SPRM mengadakan siasatan segera bagaimana mekanisme kelulusan di luar tabii diberikan kepada Danagaya Sdn.Bhd,” ujar Zainuddin yang mencabar Ketua Pesuruhjaya SPRM Malaysia meletakkan jawatan jika gagal membuka fail siasatan dan menahan pembalakan ‘haram’ di kawasan tanah tinggi di Hutan Simpan Kuamut, Sabah.

Siasatan juga, kata Zainuddin harus ditumpukan kepada seorang pegawai di Jabatan Perhutanan Sabah di Unit Pemetaan yang bernama Han Wai Kong yang menyediakan pelan palsu atau memalsukan pelan pembalakan terutama menukarkan kawasan tanah tinggi 25 darjah sebagai kawasan kurang daripada 10 hingga 24 darjah agar ianya boleh dibalak.

DESAK... Zainuddin dan exco pemuda keadilan selepas membuat laporan di pejabat SPRM di Sabah mendesak siasatan dan penangkapan segera pihak yang terbabit dengan jenayah ini.

“Kita mendapati, Han Wai Kong mempunyai seorang adik, Frank Han Kan Kong yang merupakan Pengurus Besar di Danagaya Sdn.Bhd yang dilantik oleh Gundik Michael Chia iaitu Yap Siaw Lin untuk berurusan dengan Yayasan Sabah dan Jabatan Perhutanan,” ujar Zainuddin yang mempunyai bukti dan telah mengemukakan bukti berkenaan kepada SPRM berhubung penglibatan dua beradik kembar ini.

Sehubungan itu, kata Zainuddin, SPRM harus menyiasat akaun dua beradik Han ini dan saudara mara mereka kerana dipercayai memperoleh pendapatan lumayan sejak terlibat dengan sindiket terancang ini.

“Dalam hal ini, Ketua Polis Negara juga hendaklah segera menjalankan siasatan lapangan kerana ianya juga melibatkan kes polis. Kes pemalsuan adalah jenayah komersil,” tegas Zainuddin yang turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di atas penyambungan kontrak beliau selama setahun lagi.

Tugas Tan Sri Musa, kata Zainuddin mungkin agak berat sedikit kerana terpaksa menyiasat sama ada Musa Aman terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sindiket berkenaan sebagaimana dua laporan polis sudah dibuat oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan di Balai Polis Penampang baru-baru ini.

Gerakan bersepadu antara SPRM dan PDRM haruslah diseragamkan agar bukti kegiatan jenayah komersil ini tidak dialihkan atau dihilangkan.

“Namun, mungkin pegawai SPRM dan PDRM yang kita ada tidak mempunyai pakar terlatih dalam bidang botani, maka sewajarnya mereka meminta bantuan daripada Institut Latihan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang berkecuali untuk menyiasat bukti ‘Tunggul Kayu’ yang ditinggalkan oleh ‘Pembalak Berlesen’ tetapi menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang,” kata Zainuddin yang mencurigai profesionalisme pegawai Jabatan Perhutanan Sabah kerana bercanggah kepentingan.

Isu pemalsuan dan jenayah komersil ini merupakan jenayah kolar putih yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini terutama apabila Benta Wawasan telah menjadi padang jarak padang tekukur menyebabkan pembalak mensasarkan kawasan tanah tinggi termasuk Imbak Canyon yang mempunyai dirian kayu balak yang berisipadu tinggi dan spesis yang dilindungi dan ianya hanya boleh dicapai melalui rangkaian sindiket dan penyalahgunaan kuasa Pengarah Perhutanan, Yayasan Sabah dan Ketua Menteri Sabah.

“Memandangkan isu ini amat serius, maka kita akan mengadakan ‘road tour’ dan merancang membuat 60 laporan polis di 60 kawasan Dewan Undangan Negeri sebagai membantah kegiatan jenayah komersil kolar putih ini demi untuk memastikan kawasan tanah tinggi dan hutan simpan kekal untuk generasi akan datang,” kata Zainuddin yang sedang menggerakkan jentera penerangannya untuk memberi penjelasan kepada rakyat akar umbi bahaya pembalakan haram yang dihalalkan kerajaan.

THREE STOOGIES.... Dari kiri, Yap Siaw Lin, Frank Han, Michael Chia merupakan Three Stoogies yang mendapat layanan istimewa Sam Mannan. Wajah Han Wai Kong seiras kembarnya.

Bagaimanapun, kata Zainuddin, beliau yakin dengan campurtangan Unit Khas Jenayah Komersil Bukit Aman dan komitmen Tan Sri Musa Hassan, isu ini akan dapat diselesaikan secara profesional dan pihaknya memberikan tempoh sehingga hari raya pertama sebagai tempoh akhir bagi polis memulakan siasatan kerana selepas tempoh itu mereka akan melaksanakan rancangan untuk membuat satu laporan polis bagai setiap kawasan DUN di Sabah.

Berhubung tindakan SPRM yang agak lembab, Zainuddin agak kesal dengan perkembangan ini kerana faktor kuasa dan politik menyebabkan pegawai SPRM di Sabah mengalami kekangan atas arahan ‘pihak atasan’ untuk ‘mengabaikan’ setiap laporan yang dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat, apatah lagi terhadap atau melibatkan Ketua Menteri Sabah.

“Buktinya, laporan 81 Dalil Datuk Dr Jeffrey Kitingan tidak langsung disiasat sekalipun terdapat bukti yang jelas bahawa bangunan Wisma Bandaraya yang dijadikan pejabat Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat dan subsidiarinya adalah milik Musa Aman dan Isterinya, Faridah Tussin,” kata Zainuddin yang jengkel dengan sikap SPRM yang memburu dan menyiasat pemimpin Pakatan Rakyat melalui pertuduhan palsu dan nakal.

Tambah Zainuddin lagi, pihaknya akan memfailkan notis bertulis 14 hari kepada SPRM untuk menjalankan siasatan segera kerana selepas tempoh tersebut, pihaknya akan memfailkan laporan polis dan SPRM terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengarah SPRM Sabah kerana gagal menjalankan siasatan terhadap kegiatan pemalsuan pelan dan setaraf dengannya.

“Kita tidak mahu melemparkan tuduhan liar terhadap SPRM sekalipun ada desas-desus wujudnya pihak yang menjadi ‘orang tengah’ atau ‘agen khas’ untuk menyelesaikan atau merundingkan kes dengan pihak atasan SPRM kerana buktinya banyak kes ‘didingin bekukan’ begitu sahaja tanpa sebarang siasatan,” getus Zainuddin yang menamakan seorang lelaki H Lim sebagai agen khas kepada Datuk Lim yang berpengaruh di Tawau untuk menjadi pemudah cara dan konsultan bagi semua kegiatan rasuah di Sabah?.