Tuesday, May 25, 2010

JANGAN BERBOHONG PADA TUHAN BERHUBUNG PEMBALAKAN DI CENURAM





Written by Admin
Saturday, 05 September 2009 14:58

Oleh: DATUK DR JEFFREY KITINGAN

MERUJUK kepada kenyataan Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan yang disiarkan di The Star dan Sabahkini.net, saya memohon beliau membuat penjelasan terbuka kepada umum.

Isu yang saya timbulkan sebelum ini apakah kelulusan atau lesen telah diberikan kepada konsesi di kawasan tanah tinggi melebihi 25 darjah dan bukannya soal sama ada pembalakan telah berlaku atau tidak di kawasan cenuram.

LESEN 1: Lesen Untuk Konsesi YS 3/07 (5) ini diteruskan sedangkan sebahagian besar daripadanya di kawasan cenuram. Siapa dalang?

LESEN 2 & 3: Lesen Untuk Konsesi YS 3/07 (6) Seksyen A & B ini kenapa ditangguhkan jika ianya bukan ditanah tinggi seperti yang saya dakwa selama ini.

Berpandukan peta contour bagi Konsesi YS3/07 (5), YS 3/07 (6) Seksyen A, YS 3/07 (6) Seksyen B adalah kawasan tanah tinggi 25 darjah atau lebih. Bagaimana Jabatan Perhutanan boleh member kelulusan?

SEMPADAN…. Tuhan mencipta gunung (tanah tinggi) dan sungai adalah sebagai sempadan agar manusia tahu menggunakan pelan kontour dan ianya bukan bahan jenaka kepada rakyat Sabah.

Kami (rakyat) percaya bahawa peta berkenaan telah dipalsukan bagi tujuan untuk mendapatkan kelulusan bagi Konsesi YS3/07 (5), YS 3/07 (6) Seksyen A, YS 3/07 (6) Seksyen B. Jangan buang masa bercakap dengan isu yang tidak berkaitan. Jika Datuk Sam terlalu yakin bahawa kelulusan yang diberikan tidak termasuk kawasan cenuram, sila jadikan semua dokumen berkenaan sebagai capaian umum.

Isu paling penting di kawasan cenuram ini, Konsesi YS3/07 (5), YS 3/07 (6) Seksyen A, YS 3/07 (6) Seksyen B lebih kurang 8,000 hektar merupakan HUTAN DARA terakhir di Sabah dan kami mahu supaya ianya ditukarkan taraf daripada Hutan Simpan Komersil kepada Hutan Simpan Dara (VJR) untuk kegunaan masa hadapan rakyat Sabah dan Malaysia.

JENAYAH.... Pemalsuan pelan ini bukankah satu jenayah yang paling besar dalam Enakmen Perhutanan? Kenapa polis tidak memberkas kuncu-kuncu Michael Chia di Jabatan Perhutanan kerana laporan polis telah dibuat?


Dalam fikiran rakyat Sabah, bagaimana kawasan cenuram 25 darjah atau lebih diubahsuai sebagai 25 darjah atau lebih rendah, bagaikan menukar gunung kepada tanah pamah) dan kelulusan diperolehi. Apa agenda di sebalik semua ini?

Bagaimana Datuk Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah, sama ada secara langsung atau tidak langsung boleh terlibat member kelulusan kepada Danagaya Sdn.Bhd, syarikat milik Yap Siaw Lin dan Michael Chia yang masih disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ICAC) Hong Kong kerana terlibat dengan kegiatan Penggubahan Wang Haram?

CURIGA…. Apa yang terjadi kepada YS 3/07 (5)? Kenapa tidak ditangguhkan juga? Apakah ada habuan untuk Ketua Menteri? Kenapa berbohong kepada Tuhan?

TANGGUH.... Kenapa tangguhkan operasi pembalakan jika Pengarah Perhutanan berpendapat tidak salah menebang kayu balak di kawasan cenuram? Siapa tipu siapa?

Wahai Datuk Sam Mannan, kenyataan akhbar anda mengelirukan semua pihak. Jangan berbohong kepada Tuhan sekalipun anda boleh berbohong kepada saya. Sila jelaskan kepada umum, kepada semua rakyat Sabah dan Malaysia, bahawa semua dokumen yang dikemukakan untuk mendapat kelulusan anda adalah benar termasuk pelan yang dipalsukan yang seharusnya dipertontonkan atau boleh dicapai orang awam. Kami mahu tahu bagaimana pemalsuan pelan dilakukan dan bagaimana pihak berkenaan memanipulasikannya sehingga anda boleh memberikan kelulusan.

Kami bersimpati dengan anda kerana anda mungkin tidak pernah melawat kawasan konsesi YS3/07 (5), YS 3/07 (6) Seksyen A, YS 3/07 (6) Seksyen B yang telah anda luluskan. Jika anda melawat kawasan konsesi berkenaan, anda tidak mungkin begitu mudah diperbodohkan sehingga memberikan kelulusan kepada mereka.

Kami berharap Jabatan Perhutanan dan Kerajaan Negeri Sabah menyelamatkan anda dengan menjalankan siasatan dan menghukum mereka yang terlibat memperdaya anda, membatalkan SERTA MERTA semua kelulusan dan lesen pembalakan bagi Konsesi YS3/07 (5), YS 3/07 (6) Seksyen A, YS 3/07 (6) Seksyen B.

No comments:

Post a Comment