Tuesday, June 1, 2010

RAKYAT SABAH HARAP ABU KASSIM TOLAK PINGAT?





Written by Admin
Sunday, 06 December 2009 11:43

Oleh: SALIHIN LADJA MURA

MAJORITI rakyat Sabah yang menghantar email dan sms kepada Sabahkini.net mendesak agar Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Datuk Abu Kassim Mohamed yang akan menggantikan Datuk Seri Ahmad Said Hamdan pada 1 Januari 2010 agar tidak menerima pengurniaan pingat SPDK daripada Kerajaan Negeri Sabah.

“Kita telah dihujani dengan pelbagai kes rasuah termasuk 81 Dalil yang saya failkan sendiri dan kes pembalakan di kawasan tanah tinggi serta pemberian konsesi kepada kroni yang melibatkan Ketua Menteri Sabah, namun akibat pengurniaan pingat SPDK, Ahmad Said menjadi ‘tikus’ yang takut kepada ‘Kucing’ Musa Aman,” ujar Pengerusi Yayasan Warisan Borneo (BHF), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Begitu juga dengan kes penggubahan wang haram yang beliau failkan, melibatkan adik angkat Musa Aman, Michael Chia Tien Foh, kata Jeffrey, gagal disiasat oleh SPRM di bawah pentadbiran Ahmad Said, sebaliknya Abu Kassim mengambil inisiatif terus ‘menyerbu ICAC’ di Hong Kong untuk memperolehi bukti yang cuba disorok selama ini.

Bagaimanapun Jeffrey mengalu-alukan perletakan jawatan Ahmad Said yang disifatkan sebagai bertanggung jawab di atas kegagalan SPRM dan menggelincirkan imej SPRM dan disifatkan sebagai menghina DYMM Yang Di Pertuan Agong.

“Kita mengalu-alukan perlantikan Dato’ Abu Kassim untuk memberi nafas baru kepada SPRM yang sebenarnya sudah lama ‘koma’ apabila gagal menjalankan siasatan berhubung laporan rasuah yang saya failkan terhadap Musa Aman dan kroninya termasuk Musbah Jamli, Daud Tampokong, Nasir Yeo Guan Hock, Michael Chia Tien Foh dan sebagainya,” ujar Jeffrey dalam kenyataan kepada Sabahkini.net melalui telefon.

Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah ketika dihubungi berkata, perlantikan Abu Kassim sebagai satu muslihat yang licik bagi meyakinkan rakyat bahawa kononnya SPRM menuju ke arah pembaikan dan pemulihan integriti.

“Motif sebenar ialah untuk mencalar imej Kerajaan PAS Kelantan yang cuba mengaitkan perlantikan menantu MB Kelantan sebagai mempunyai unsur-unsur melanggar prosedur di mana perlantikan tersebut dikategorikan mempunyai pertalian keluarga,” kata Hamzah yang kesal dengan sikap ‘double standard’ SPRM selama ini.

Tegas Hamzah, kenapa SPRM tidak menjalankan atau membuka fail siasatan terhadap Musa Aman yang bukan sahaja melantik menantunya, Datuk Ariffin Ariff malah anak saudaranya Hasnol Ayub dan suku sakatnya dalam jawatan penting kerajaan dan GLC walaupun laporan rasmi telah dibuat.

Kata Hamzah, dengan berundurnya Ahmad Said, maka tidak akan ada lagi suara yang boleh mempertikaikan tindakan mendakwa pimpinan PAS Kelantan sebagai suatu yang bermotifkan politik kerana Abu Kassim dilihat sebagai masih bersih.

Sementara itu, Ketua Cawangan UMNO Tampi-Tampi Darat, Semporna, Azizul Sanarul yang memfailkan tiga laporan beliau di hadapan lima Panel SPRM pada 15 Oktober 2009 menyifatkan perlantikan Abu Kassim sebagai menukar lokomotif kereta api tetapi masih menggunakan gerabak dan landasan lama.

“Ianya tidak akan memberi banyak manfaat kerana masih terletak di bawah telunjuk pemimpin yang berkepentingan di dalam kerajaan. SPRM bukan badan bebas, sebaliknya hanya bebas melakukan siasatan terhadap pembangkang, sebaliknya menyuburkan rasuah di dalam UMNO/BN,” ujar Azizul yang turut mencadangkan agar lima Panel yang ditubuhkan SPRM dibubarkan sahaja kerana menjadi ‘pengacau’ atau ‘pencacai’ kepada sistem yang sedia ada.

Dalam hal ini kata Azizul, semua ahli parlimen yang mengikuti perbahasan dan meluluskan Akta SPRM wajar malu dan meletakkan jawatan kerana SPRM tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan selepas waktu pejabat dan ‘memenjarakan’ SPRM dalam ‘neraka’ ciptaan pemimpin Negara.

Sehubungan itu, kata Azizul, perlantikan Abu Kassim tidak memberikan sebarang impak jika Akta SPRM tidak dipinda dan tidak diberi kuasa pendakwaan sebagaimana ICAC Hong Kong yang benar-benar bebas.

“Saya turut mencabar Datuk Abu Kassim agar membuka semula semua fail siasatan SPRM terhadap Musa Aman yang telah ditutup Peguam Negara dan diklasifikasikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz sebagai ‘No Case To Answer’,” tegas Azizul mendesak agar Abu Kassim turut menyiasat Peguam Negara dan Nazri berhubung isu berkenaan.

Bagi memastikan kelicinan dan pemulihan imej SPRM di Sabah kata Azizul, Abu Kassim harus menggantikan Jalil Jaafar yang digelar rakyat Sabah sebagai ‘Ahmad Nisfu’ dan dianggap sebagai Pengarah SPRM paling lemah di Malaysia.

“Abu Kassim juga harus memanggil Henry Voon dan Hashim Lim yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘penasihat’ atau ‘juruperunding’ kepada Ahmad Said yang telah mencemarkan imej SPRM di Sabah kerana kes Albert Lim dan Michael Chia sedang dirundingkan untuk ditutup apabila saksi utama dijadikan defendan,” ujar Azizul yang kesal dengan kehadiran ‘Dua Joker’ ini di Sabah.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pelantikan Abu Kassim itu berikutan permohonan bertulis Ahmad Said supaya khidmatnya dipendekkan kepada akhir tahun ini.

Tambahnya, Ahmad Said mengemukakan notis bertulis supaya kontrak perkhidmatannya yang sepatutnya tamat pada 25 Mei tahun depan dipendekkan kepada 31 Disember ini.

Susulan keputusan itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan supaya Abu Kassim dilantik sebagai pengganti Ahmad Said berdasarkan peruntukan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] berkuatkuasa mulai 1 Januari 2010.

Mengikut rekod, Datuk Abu Kassim bin Mohamed dilahirkan di Kuala Lumpur pada 5 Disember 1960, berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan Sarjana Sains dalam bidang Criminal Justice dari Michigan State University, Amerika Syarikat.

Beliau memulakan kerjayanya dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1 September 1984 apabila dilantik sebagai pegawai siasatan, Cawangan Tatatertib, ibu pejabat BPR, Kuala Lumpur.

Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Perancangan Dan Koordinasi Dasar, Ibu Pejabat BPR, Pengarah BPR Perak dan Pulau Pinang, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia dan dipinjamkan sebagai Ketua Pegawai Integriti, Amanah Raya Berhad.

Beliau telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) BPR pada 1 Jun 2007. Dengan berkuatkuasanya Akta 694 pada 1 Januari 2009, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Sabahkini turut menghubungi Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Datuk Paul Low, yang sebelum ini mendakwa wakil-wakil rakyat dan penyokong-penyokong rapat mereka percaya jawatan tersebut (wakil rakyat) adalah peluang untuk membuat duit bagi diri sendiri.

“Saya menyalahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat tidak serius menangani gejala rasuah sehingga menjadi cara hidup kebanyakan rakyat di negara ini. Sebenarnya, bukan setakat jawatan wakil rakyat, apa juga jawatan yang disekutukan dengan kuasa akan segera dikaitkan dengan peluang membuat duit,” ujar Low yang menegaskan jika bukan pelaku sendiri, sudah tentu oleh kaum kerabat, kawan rakan, handai taulan dan kenalan-kenalannya.

No comments:

Post a Comment