Tuesday, June 1, 2010

SPRM UNTUK DIJUAL?





Written by Admin
Sunday, 11 October 2009 08:48

DINOSOUR.... Dinasour Chong (baju biru) berjaya ditransformasi menjadi 'mutan', manakala Alber Lim (Kiri) cuba merundingkan kes ini dengan Pejabat Peguam Negara dan Pendakwaraya, Kevin Morais (bertali leher kuning) terpinga-pinga?

Oleh: HAFIZ JAMAIL

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sebelum ini ditimpa pelbagai masalah pentadbiran dan salah urus akibat kekangan pihak berkuasa, kini didakwa melakukan kegiatan tidak bermoral dengan menukarkan saksi utama kepada defendan setelah percubaan pihak tertentu untuk menutup kes berkenaan tidak Berjaya.

Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Zainuddin Hassan mendakwa percubaan kroni Ketua Menteri Sabah, Datuk Albert Lim Yu Ming untuk menutup kes berkenaan berjaya dikesan PKR setelah ‘Penjenayah’ Terkemuka Asia, Michael Chia Tien Foh menyerahkan RM1.5 juta daripada pakej rangsangan RM3 juta untuk memastikan kes berkenaan ditutup sebelum Hari raya Aidil Fitri lalu.

“Setelah gagal, mereka kini melakukan sesuatu perlakuan di luar tabii undang-undang dengan menukarkan saksi utama kepada defendan dan kita mempunyai bukti bahawa Michael Chia telah berjaya membeli saksi (Chong Siak Nyen) melalui penjualan konsesi kayu balak. Kita ada bukti, tetapi kita akan dedahkan bukti jika panel penyiasat SPRM dapat memberi jaminan bahawa kes ini akan disiasat dan bukannya melupuskan bukti,” ujar Zainuddin yang mula jelak dengan karenah birokrasi SPRM.

Kata Zainuddin, pihaknya mempunyai bukti bahawa Konsesi Yayasan Sabah YS 307 (7) dan (8) telah dijual kepada Dinosour Chong atau Chong Siak Nyen sebagai cara penyelesaian menarik diri daripada menjadi saksi dengan harapan tanpa saksi yang menyerahkan wang kepada kedua tertuduh, maka Mahkamah akan membuang kes berkenaan kerana tidak terdapat bukti atau asas untuk menuduh berlakunya rasuah.

PROSES.... Carta ini menunjukkan proses bagaimana percubaan Michael Chia cuba menutup kes rasuahnya menggunakan semua saluran termasuk memanipulasi undang-undang.

Sehubungan itu, Zainuddin mendesak Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengarahkan Peguam Negara menjalankan siasatan rapi kerana ada pihak yang mengaitkan nama mereka sebagai usaha untuk mengabui mata hakim dan pendakwaraya.

“Sebagai pembayar cukai dan pemilih berdaftar, saya rasa begitu malu kerana seorang lelaki bernama Hashim Lim @ Hashim Cina boleh mengaitkan nama pembesar Negara dan Datuk Albert Lim menempel aib ke muka Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail yang didakwa akan bekerja sama untuk menutup kes berkenaan, sebagaimana yang berlaku kepada kes 81 Dalil Musa Aman apabila peguam Negara mengatakan No Case to Answer,” ujar Zainuddin yang mendakwa rasuah di Sabah semakin tidak terkawal kerana SPRM Sabah semakin bacul untuk menjalankan tugas sebagai institusi penguatkuasa.

Zainuddin agak hairan kerana walaupun kes ini agak besar, namun SPRM hanya melakukan penyiasatan ala kadar dan mi segera sehingga berlaku pembelian saksi sedangkan jika mengikut fakta kes, kawasan konsesi yang dibeli oleh Peluamas Sdn.Bhd daripada Danaharta Sdn.Bhd seluas 5,540 hektar yang mengandungi isipadu balak 440,000 meter padu.

“Mengikut maklumat dan bukti yang kita terima, Peluamas telah membayar RM20 Juta kepada UMNO Sabah. Ke mana wang tersebut? Kenapa SPRM tidak siasat siapa terima wang tersebut, sama seperti Skandal PKFZ. Siapa terima RM8.8 juta lagi yang diserahkan sebagai syarat RM25 untuk semeter padu balak?,” kata Zainuddin yang menekankan isu ini harus disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.

Dalam pada itu, ketika sebutan semula kes pada 1 Oktober 2009, kedua-dua tertuduh, Lo Man Heng dan Michael Chia tidak mengaku salah dan perbicaraan akan dimulakan pada Januari 2010.

Berikut adalah kertas pertuduhan terhadap Michael Chia dan Lo Man Heng;

BAHAWA kamu, dengan niat, pada Jun 2004 bertempat di daerah Sandakan, Sabah, telah menipu seorang, Chong Siak Nyen daripada Syarikat Peluamas Sdn.Bhd dengan meyakinkan beliau mempercayai bahawa tiga perkara perlu disediakan sebelum mendapat surat kelulusan berhubung operasi pembalakan di Coupe BW12/02: Mengeluarkan dan Membeli Balak Komersil daripada Hutan Simpan Kabalakan, Sabah, iaitu;

1) Menyerahkan kembali pembelian 100,000 meter padu balak yang telah dimaterai pada 25 Mei 2004 kepada Rakyat Berjaya Sdn.Bhd/Innoprise Corporation Sdn.Bhd, syarikat subsidiari Yayasan Sabah sebagai 'write off';

2) Membayar RM3 Juta untuk Tabung Politik UMNO Sabah, dan;

3) Membayar komisyen RM25 bagi satu meter padu sebagai caj asas bagi semua balak yang dikeluarkan oleh Syarikat Peluamas Sdn.Bhd daripada Hutan Simpan Gunung Rara (Benta Wawasan).

DAN bahawasanya kamu secara tidak jujur telah menipu Chong Siak Nyen dengan menyerahkan Surat Kuasa bertarikh 22 Jun 2004 yang telah diberikan untuk membeli 100,000 meter padu balak kepada syarikat yang dimiliki UMNO Sabah, membayar RM1 juta kepada Tabung Politik UMNO Sabah dan komisyen RM2.2 juta kepada Lo Man Heng seperti berikut;

01) 22 September 2004 RM100,000

02) 10 Disember 2004 RM 20,000

03) 10 Disember 2004 RM 10,000

04) 14 Disember 2004 RM 400,000

05) 11 Mac 2005 RM 100,000

06) 16 Mac 2005 RM 80,000

07) 22 Mac 2005 RM 100,000

08) 23 Mac 2005 RM 100,000

09) 18 April 2005 RM 40,000

10) 13 Mei 2005 RM 80,000

11) 14 Mei 2005 RM 60,000

12) 01 Julai 2005 RM 20,000

13) 13 Julai 2005 RM 50,000

14) 21 Julai 2005 RM 150,000

15) 29 Julai 2005 RM 100,000

16) 09 Ogos 2005 RM 150,000

17) 15 September 2005 RM 450,000

18) 15 November 2005 RM 150,000

19) 16 November 2005 RM 25,000

20) 24 November 2005 RM 15,000

Bahawasanya Chong Siak Nyen tidak akan menyerahkan Surat Kuasa dan wang yang dinyatakan di atas, jika dia mengetahui dan sehubungan itu kamu telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksesaan.

Hukuman: Penjara tidak lebih satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan juga denda.

No comments:

Post a Comment