Wednesday, June 2, 2010

SIMON LING ‘THE INVISIBLE MAN’?





Written by Admin
Wednesday, 02 June 2010 10:02

Oleh: HASHIM KAU TIAM

PENANGKAPAN ‘olok-olok’ Simon Ling Ding Dieng, jutawan balak yang digelar ‘The Invisible Man’ (Halimunan) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama dua malam untuk tujuan siasatan tidak memberikan sebarang gugatan kepada rangkaian ‘The Untouchable of The Untouchable’ Michael Chia Thien Foh.

Walaupun SPRM memulakan gerakan memungut koleksi ‘tertuduh’ dengan penahanan Ngui Ing Chuang yang mengheret kepada penangkapan, Andrew Lim, Freedy Lim, CL Tan dan Admond Looh, namun semua berjaya menyelamatkan diri masing-masing dan tidak melibatkan tokoh politik Sabah dan ‘The Untouchable’.

Arahan pengistiharan harta yang dikeluarkan oleh SPRM sekadar tiket saman yang dikeluarkan oleh PDRM terhadap mereka yang salah meletak kenderaan; tidak diendahkan malah tidak berjaya menggentarkan tokoh politik dan rangkaian ‘The Untouchable’ yang hidup kaya raya dengan hasil penggubahan wang haram dan membiayai keganasan.

Paling mengejutkan, tindakan Dato’ Admond Looh yang membayar USD100juta untuk mendapat konsesi pembalakan daripada rangkaian ‘The Untouchable’ di kompartmen Yayasan Sabah YT3/05(1), YT3/05(2) dan YT3/04 di Kalabakan, Tawau kepada seorang pemimpin UMNO Sabah melalui akaun anaknya di Credit Suisse, Singapura tidak langsung direkod SPRM ketika menjalankan siasatan terhadap ‘Raja Balak’ tersebut.

Admond Looh sebelum ini berjaya melepaskan diri dan menjadi kawan rapat kepada seorang pegawai kanan SPRM yang menyerbu Keningau dalam Operasi Membanteras Balak Haram, namun tidak mengharamkan operasinya menebang balak di bawah atau melebihi ukur lilit; kini menjadi ‘Raja Balak’ yang tiada tandingannya di Sabah.

Rakan rapat Admond, Simon Ling Ding Dieng yang berasal daripada Sarawak yang menggunakan imuniti ‘The Untouchable’ telah menceroboh konsesi YT3/05(1) sekitar 2006 dan mencuri sejumlah besar balak daripada kawasan berkenaan dan berjaya memadamkan bukti dengan memindahkan semua balak yang dicuri ke kawasan Simon Ling Dieng Dieng.

Oleh kerana sejumlah besar balak telah dicuri, maka ‘The Untouchable’ telah menjual Kompartment YT3/05(1) kepada Simon Ling Ding Dieng dengan harga RM60 juta sahaja; di samping Kompartmen YS4/07 juga turut dilupuskan kepadanya dengan harga RM50 juta.

Simon Ling Ding Dieng juga dikesan telah membayar RM100 juta kepada ‘The Untouchable’ Michael Chia melalui ‘Tai Ko’ Ngui Ing Chuan untuk kawasan konsesi YS3/07(1), YS3/07(2), YS3/07(3) dan YS3/07(4) dengan keluasan 15,000 hektar. RM100 juta juga telah dibayar kepada seorang peguam kanan sebelum dialihkan ke akaun seorang pemimpin politik di Sabah.

Mengikut siasatan Sabahkini.net, Simon Ling Ding Dieng juga berpakat dengan ‘The Untouchable’ dan Han's bersaudara dalam gerakerja memalsukan pelan pembalakan kawasan tanah tinggi (Steep Area) di YS3/07(5), YS3/07(6)A dan YS3/07(6)B.

Kini kawasan konsesi berkenaan sedang giat dibalak tanpa sebarang kawalan daripada Jabatan Perhutanan Sabah kerana kayu balak di bawah atau melebihi ukur lilit ditebang secara wewenang; sekalipun bantahan demi bantahan disuarakan NGO dan pemimpin politik; namun Pengarah ‘Samseng’ hanya menutup mata dan meluluskan kawasan berkenaan dibalak atas arahan ‘The Untouchable’.

Balak-balak yang ditebang daripada kawasan tanah tinggi, rizab sungai boleh dilihat dengan jelas di Pangkalan Balak Lalangud, Tawau dan kebanyakan kayu dibawah ukur lilit diseludup ke kilang-kilang tempatan di Tawau untuk diproses dan dihapuskan bukti kerana mengetahui kelemahan SPRM yang enggan menjadikan ‘tunggul kayu’ di kawasan konsesi sebagai ‘bukti’ kerana borang Timber Disposal Permit (TDP) begitu mudah dipalsukan oleh kakitangan Jabatan Perhutanan yang menerima gaji daripada Simon Ling dan rangkaian ‘The Untouchable’.

Sejumlah besar spesis larangan seperti ‘Belian’ dan ‘ibu kayu’ telah dikategorikan semula sebagai ‘OT’ sebelum diseludup ke luar negara seperti Vietnam, China dan India melalui skaw milik ‘The Untouchable’ dan Kapal milik Yayasan Sabah.

Adalah dipercayai Simon Ling telah membayar USD100 juta lagi kepada ‘The Untouchable’ untuk kawasan konsesi YS3/07(5), YS3/07(6)A, YS3/07(6)B dan wang tersebut kemudian disalurkan kepada seorang pemimpin UMNO Sabah!

Simon Ling Ding Dieng, ‘The Invisible Man’ memang terkenal dengan penyeludupan balak kerana bijak mengelak royalti supaya royalti dan kos pembalakan tidak dibayar kepada Jabatan Perhutanan dan Yayasan Sabah bagi tumbangan di bawah ukur lilit (60 cm ke bawah), tumbangan pokok larangan (tengawang), tumbangan lebih saiz (150 cm ke atas), tumbangan rizab reparian dan tumbangan daripada kawasan tanah tinggi.

Jabatan Perhutanan dan Yayasan Sabah telah berjaya dibutakan oleh wang Simon Ling yang telah dicuci oleh ‘The Untouchable’; apatah lagi Kini Abadi Sdn. Bhd dan Imej Berlian Sdn.Bhd milik ‘The Untouchable’ memonopoli kontrak skaw (barging) juga telibat dalam penyeludupan kayu-kayu ke kilang-kilang tempatan dan ekport ke luar negara.

Rita Chia, kakak kepada ‘The Untouchable’ yang mengemudi Imej Belian Sdn.Bhd membantu ‘The Invisible’ Simon Ling dalam proses penyeludupan yang dibuat secara professional supaya semua kegiatan tidak terbongkar!

Sebagai ‘The Invisible Man’, sejak 2005 sehingga kini, Simon Ling telah menceroboh kawasan konsesi YT3/05(1), YS2/06, YS3/07(1), YS3/07(2), YS3/07(3), YS3/07(4), YS3/07(5), YS3/07(6)A, YS3/07(6)B, YS4/07 dengan keluasan 50,000 hektar.

Amat malang bagi seorang pejuang hutan seperti Pengarah Samseng kerana gagal melihat dan mengawal selia semua kawasan yang diserang atau diceroboh oleh Simon Ling kini kelihatan seperti ‘Padang Jarak Padang Terkukur’ dan kawasan tanah tinggi sudah menjadi seperti ‘Gurun Sahara’.

Jika SPRM tidak lagi mampu menahan serangan ‘The Invisible’ daripada Sarawak ketika Anak Negeri Sabah dihalau keluar daripada kawasan tanah adat yang mereka usahakan sejak sebelum merdeka, tetapi termasuk di kawasan Hutan Simpan; siapakah lagi yang mampu membela mereka?

No comments:

Post a Comment