Tuesday, June 1, 2010

SPRM KE HONG KONG SIASAT MICHAEL CHIA





Written by Admin
Friday, 23 October 2009 10:04


Oleh: JAMIL NASRAH

BEBERAPA hari selepas dua Ketua Cawangan UMNO Sabah membuat laporan rasmi di hadapan lima panel yang ditubuhkan SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohammad bersama lapan pegawainya telah berlepas ke Hong Kong pada rabu untuk mengumpul bukti terbaru daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) berhubung Skandal Penggubahan Wang Haram dan Membiayai Keganasan yang dilakukan oleh peniaga dan kroni Ketua Menteri Sabah iaitu Michael Chia Tien Foh.

Menurut sumber dalaman SPRM, Abu Kassim diberi kepercayaan mengetuai siasatan setelah siasatan sebelum ini ‘ditutup’ oleh ‘orang atasan’ kerana mempunyai kaitan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Bagaimanapun tidak diketahui sama ada siasatan hanya tertumpu kepada wang $16 juta dollar Singapura yang dirampas ICAC pada 14 Ogos 2008 di Lapangan Terbang Chek Lap Kok atau termasuk Skandal Pemalsuan Surat Jabatan Perdana Menteri yang mengesahkan USD 4.5 billion daripada akaun yang sama adalah milik Kerajaan Negeri Sabah.

Dalam pada itu, pada 15 Oktober 2009, dua orang Ketua Cawangan UMNO Sabah, menyongsang arus membuat laporan rasmi terhadap Michael Chia di hadapan lima panel SPRM di Putrajaya setelah kes berkenaan dikategorikan sebagai ‘No Case To Answer’ walaupun harta yang dimiliki Michael Chia daripada kegiatan haram berkenaan berada di Sabah setelah laporan rasuah yang dibuat oleh pemimpin pembangkang hanya dibakulsampahkan oleh SPRM.

Menurut Ketua Cawangan UMNO Tampi-Tampi Darat, beliau bertindak atas kapasiti sendiri bagi menyahut seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang bersungguh-sungguh mahu membanteras politik wang dan Skandal rasuah di kalangan pemimpin UMNO.

“Kita tidak mampu lagi melihat pegawai kanan SPRM lebih gemar menutup kes dan menteri yang terlibat menyalahguna kuasa mencampuri siasatan yang dijalankan SPRM sebelum ini,” ujar Azizul yang sebelum ini pernah menulis Surat Terbuka kepada Ketua Menteri Sabah.

Bagi memastikan penjenayah kolar putih tidak terlepas daripada tindakan undang-undang, maka Azizul dan rakannya, Kunsul Nahul bertindak memfailkan laporan rasmi di hadapan lima panel yang dilantik iaitu Panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah; Panel Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah; Panel Jawatankuasa Aduan; Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah serta Panel Penilaian Operasi.

Menurut Azizul, beliau kesal kerana rasuah sudah membudaya di dalam pentadbiran sehingga penjenayah seperti Michael Chia bebas keluar masuk Pejabat Ketua Menteri Sabah dan memonopoli semua konsesi pembalakan Yayasan Sabah dan ianya bukan rahsia lagi.

Michael Chia telah memperolehi harta secara tidak sah melalui konsesi pembalakan, namun SPRM Sabah selama ini membutakan mata mereka dan hanya mendakwa Michael Chia bagi kesalahan kecil di Mahkamah Sesyen.

“Kesalahan besar bagaimana? Siapakah dalang di sebalik semua amalan songsang ini jika bukan Ketua Menteri? Akaun tersebut adalah akaun Musa Aman dengan kroninya, Nasir Yeo yang Muflis di Malaysia tetapi mempunyai jutaan dolar di Hong Kong,” ujar Azizul yang kesal kerana Musa berkawan rapat dengan penjenayah yang dikehendaki di Hong Kong.

Tegas Azizul, beliau berpuas hati dengan layanan kesemua panel SPRM dan mengharapkan ianya diterjemahkan kepada tindakan yang boleh menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin yang korup dan penjenayah kolar putih yang berselindung di sebalik jawatan menteri dan pegawai kanan kerajaan.

No comments:

Post a Comment